MELAKA: Sebuah syarikat dan seorang pengarah didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjual 70 peket gula pasir kasar melebihi harga kawalan ditetapkan.
Tertuduh, Keluargaku (M) Sdn. Bhd. dan Lee Mey Eng, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat berkenaan dan tertuduh didapati menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal 70 peket gula pasir kasar satu kilogram (kg) dengan harga RM3.20 sepeket iaitu selain mengikut harga yang ditentukan pengawal.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.40 pagi di premis Keluargaku (M) Sdn. Bhd., No. 35, KPAA 1, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Mac 2023.
Sabit kesalahan syarikat itu boleh denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM250,000 mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 (a) akta sama.
Sementara itu, pengarah syarikat berdepan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali dan bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 (b) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pedakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norhysham Md. Noor menawarkan denda RM100,000 terhadap syarikat dan RM50,000 kepada pengarahnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda dikurangkan. Mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 kepada syarikat manakala pengarahnya didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN










