Gerak kerja berterusan bersama rakyat, UMNO optimis rampas Perlis PRU16 - Utusan Malaysia

Gerak kerja berterusan bersama rakyat, UMNO optimis rampas Perlis PRU16

FATHUL Bari Mat Jahya menziarahi penduduk di kawasan Kangar, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO negeri optimis mampu merampas kembali Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan gerak kerja berterusan bersama rakyat di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, gerak kerja berterusan yang dilaksanakan itu cukup penting bagi mengisi ruang-ruang yang kerajaan negeri tidak laksanakan.

Soalnya, kebanyakan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Parlimen juga hilang entah ke mana di saat rakyat memerlukan.

“Saya tidak mahu menjadi pengkritik tegar kerajaan negeri walaupun kita tahu di mana lompong-lompongnya terutama berkaitan isu rakyat yang sepatutnya diberi perhatian khusus.

“Mungkin program-program itu ada tapi difahamkan tidak dirasai sepenuhnya oleh rakyat dan masyarakat. Jadi kami isi lompongan-lompongan itu.

“Mudah-mudahan dengan gerak kerja yang kita atur susun selain pendekatan cara baru yang kita buat, akan memgembalikan sokongan rakyat kepada kita,” katanya.

PRU15 lalu menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen sekali gus menamatkan penguasaan kerajaan negeri BN di Perlis.

PN menguasai 14 kerusi DUN dan tiga Parlimen manakala satu kerusi iaitu di Indera Kayangan disandang wakil dari Pakatan Harapan (PH).

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, gelombang PN di Perlis dilihat sukar bertahan meskipun gabungan berkenaan menguasai hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN susulan kemenangan besar dalam PRU15.

Ahmad Maslan berkata, mengambil contoh situasi berlaku di Terengganu dalam PRU 2004, BN hanya memenangi empat kerusi di negeri itu manakala selebihnya dipegang oleh Pas namun keadaan berbalik semula pada pilihan raya umum selepas itu.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berharap isu-isu nasional yang tiada kaitan langsung dengan situasi di Perlis tidak diberikan tumpuan.

“Fokus pada negeri kita. Sebagai contoh, DAP tidak ada di Perlis dan tidak sebarang kerusi pun di Perlis buat masa ini. Ada yang membangkitkan tidak mahu undi BN sebab bersama DAP.

“Apa yang lebih penting fokus negeri ini, cakna kah wakil rakyat terhadap situasi rakyat. Fokus perkara itu, jangan tumpu isu pusat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN