KOTA BHARU: Masjid Mukim Kemumin akan menggerakan Kempen Solat Subuh Berjemaah Seperti Solat Jumaat sebelum kedatangan bulan Ramadan sebagaimana yang dicetuskan oleh selebriti terkenal tanah air Alif Satar baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli jawatankuasa (AJK) masjid Johari Othman berkata, usaha murni itu sepatutnya dipuji, dicontohi, disahut dan digerakkan oleh semua masjid di seluruh negara sebagai satu ikhtiar ke arah mengimarahkan institusi ibadah umat Islam.
“Kami akui tertarik dengan kempen itu dan memang berhasrat untuk turut melaksanakannya. Mengikut perancangannya kami ingin menjalankan kempen itu sebelum tibanya bulan Ramadan.
“Kami perlu ambil sedikit masa kerana semua AJK masjid ini baru dilantik pada tahun ini dan kini dalam proses memperkemaskan barisan. Namun kami berhasrat melaksanakan kempen itu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata, pihaknya turut melancarkan Tabung Pembangunan Masjid Mukim Kemumin untuk mengumpul dana bagi pembangunan masjid.
Katanya, dana tersebut melibatkan kerja-kerja baik pulih bumbung bocor, naik taraf sistem siar raya dan tandas wanita, serta pemasangan mihrab untuk memperbetulkan arah kiblat.
“Anggaran kos sekitar RM150,000 dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam bernombor 03018010173849 atas nama Masjid Mukim Kemumin atau boleh dimasukkan terus ke tabung berkenaan,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Johari di talian 0169242311 atau Imam Muda Masjid Mukim Kemumin, Amirul Hakimi Hasan di talian 0148333312. – UTUSAN










