Bazir petrol RM6.8b setahun

Bazir petrol RM6.8b setahun

MASALAH kesesakan lalu-lintas antara lain disumbangkan oleh peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya khususnya di Lembah Klang saban tahun. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warga kota mem­­bazirkan kira-kira RM6.8 bilion bagi mengisi petrol sele­pas terpe­rangkap dalam ke­se­sakan jalan raya ketika berulang- alik ke tempat kerja selama 580 jam setahun.

Jumlah itu diperoleh berda­sar­kan anggaran purata ke­se­sa­kan lalu lintas dihadapi kira-kira 2.2 juta pemilik kende­raan dari Lembah Klang yang memasuki ibu negara semasa waktu puncak, iaitu dari pukul 6 pagi hingga pukul 9 pagi dan terpaksa menghabiskan masa selama 135 minit atau dua jam 15 minit di atas jalan raya.

Berdasarkan kajian, secara umumnya, kenderaan yang ti­dak bergerak dalam kesesakan jalan raya akan menggunakan 2.6 liter minyak setiap sejam.

Pakar Keselamatan Jalan Ra­ya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, masalah kesesakan itu disumbangkan oleh peningka­tan jumlah kenderaan di jalan raya khususnya di Lembah Klang saban tahun.

Katanya, berdasarkan kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun lalu, purata enam juta kenderaan memasuki ibu negara setiap hari.

“Pada waktu puncak khusus­nya dari pukul 6 hingga pukul 9 pagi, jumlah kenderaan yang masuk ke ibu negara mencecah 2.2 juta setiap hari. Ini menyum­bang kepada kesesakan lalu lintas sekali gus menyebabkan pengguna menghabiskan masa lama di dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kebiasaannya, pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa tersebut di dalam kenderaan pada hari Selasa hingga Khamis manakala hari Isnin dan Jumaat jangka waktunya boleh mencapai 180 minit atau tiga jam sehari.

Harga minyak RON95 bersubsidi pada masa kini adalah RM2.05 per liter dan penduduk Lembah Klang dianggarkan seramai tujuh juta orang pada tahun lalu.
Berdasarkan laporan Persatuan Automatif Malaysia (MAA), jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) automatik Malaysia meningkat ke paras tertinggi apabila sebanyak 799,731 unit kenderaan djual pada 2023 berbanding 721,177 unit tahun sebelumnya.

Jumlah itu menyumbang kepada kenaikan jualan kenderaan sekitar 11 peratus.

Teik Hua berkata, tahap kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kenderaan persendirian terus tinggi bahkan antara punca yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas setiap hari adalah hampir 90 peratus pengguna jalan raya memandu bersendirian setiap hari.

“Pembaziran masa sebegini memberi kerugian ekonomi kepada negara. Kerajaan perlu mencari jalan untuk menangani masalah ini kerana ia tidak mendatangkan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kesesakan lalu lintas yang terpaksa dihadapi saban hari menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kes seperti buli jalan raya, pemanduan agresif dan lain-lain kerana orang jadi mudah hilang sabar akibat terlalu lama duduk di dalam kenderaan.

“Bukan itu sahaja, pencemaran udara melalui pembuangan sisa karbon monoksida dari kenderaan juga adalah penyumbang nombor dua tertinggi selepas sektor pengilangan.

“Jika masalah ini tidak ditangani dengan sebaiknya, pencemaran alam sekitar tetap akan berlaku khususnya di bandar-bandar utama di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, pembinaan pelbagai lebuh raya di kawasan bandar bukan jalan penyelesaian jangka panjang yang boleh mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

“Pembinaan lebuh raya hanyalah penyelesaian jangka sederhana kerana selepas beberapa tahun, kapasiti kenderaan meningkat di laluan tersebut dan mengulangi masalah sama.

“Sebaliknya, kerajaan perlu mencari jalan bagaimana untuk mengubah tabiat pengguna jalan raya supaya bertukar daripada memandu sendiri ke tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam seperti bas.

“Ia adalah jalan penyelesaian paling mapan untuk jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×