KUALA LUMPUR: Peluang pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong untuk melakukan penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 semakin samar setelah disahkan mengalami kecederaan baharu tatkala tarikh tutup kelayakan ke temasya itu bakal berakhir 28 April depan.
Ketua Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yu Hang berkata, pemain No.15 dunia itu mengalami kecederaan tulang belakang ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, minggu lalu.
Tambahnya lagi, Institut Sukan Negara (ISN) telah memberikan satu suntikan kepada pemain berusia 24 tahun itu pada minggu lalu untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya.
Tempoh 10 hari seterusnya akan menjadi penentu buat Tze Yong sama ada dia bakal meneruskan aksi Jelajah Eropah membabitkan tiga kejohanan iaitu Terbuka Perancis (5 hingga 10 Mac), All England (12 hingga 17 Mac) serta Masters Sepanyol (26 hingga 31 Mac) yang menawarkan mata ranking kelayakan Sukan Olimpik.
“Selama 10 hari ini, kami benarkan dia (Tze Yong) melakukan latihan ringan untuk memperkuatkan ototnya. Doktor ISN maklumkan dia perlu dipantau dalam masa 10 hari untuk melihat reaksi suntikan yang diberikan.
“Kecederaan ini berbeza dengan apa yang menimpanya semasa Terbuka Malaysia dan kecederaan itu sudah pulih sepenuhnya.
“Kami tidak tahu bila dia akan pulih sepenuhnya tetapi kami perlu tunggu bagaimana suntikan ini ke atas dia (Tze Yong) kerana setiap orang akan beri reaksi berbeza,” katanya.
Berdasarkan ranking kelayakan ke Paris 2024, Tze Yong kini menghuni tangga ke-15 dengan mengumpul 57,080 mata, manakala rakan senegara, Lee Zii Jia dilihat tidak menghadapi masalah untuk membuat penampilan kedua di temasya sukan itu apabila berada di tangga 10 dengan 66016 mata.
Sesebuah negara boleh menghantar dua pemain perseorangan dengan syarat kedua-dua pemain tersebut berada dalam kelompok 16 terbaik ranking kelayakan Sukan Olimpik.
Terdahulu, Tze Yong mengalami kecederaan sewaktu menentang pemain Singapura, Jason Teh di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sebelum mengambil keputusan menarik diri hanya selepas tiga minit beraksi.-UTUSAN










