Joo Ven pilihan baharu Tze Yong

Joo Ven pilihan baharu Tze Yong

Ng Tze Yong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven bakal memainkan peranan penting dalam fasa baharu karier Ng Tze Yong apabila dipilih sebagai jurulatih selepas pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergelar pemain profesional.

Joo Ven yang pernah mewakili skuad kebangsaan dan membantu Malaysia muncul juara acara berpasukan campuran pada Kejohanan Remaja Dunia 2011 dijangka menjadi individu penting dalam usaha mengembalikan semula prestasi Tze Yong menjelang kemunculannya semula di pentas kompetitif.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia akan menjalani latihan di kem kendalian Joo Ven sebaik menumpukan sepenuh masa sebagai pemain profesional.

“Sekarang saya masih dalam proses pemulihan dan intensiti latihan pun baru sekitar 40 hingga 50 peratus, tetapi saya sudah mempunyai tempat untuk berlatih.

“Saya akan menjalani latihan di sana bersama Joo Ven dan buat masa ini dia akan menjadi jurulatih saya,” kata Tze Yong kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Menurut Tze Yong, fokus utamanya ketika ini bukan untuk kembali beraksi secepat mungkin, sebaliknya memastikan proses pemulihan berjalan lancar agar dapat kembali bersaing pada tahap terbaik.

Beliau mengakui kemunculannya semula di gelanggang pertandingan tidak semestinya bermaksud prestasi terbaik dapat dicapai serta-merta kerana kedua-duanya memerlukan tempoh yang berbeza.

“Kalau boleh saya memang mahu kembali secepat mungkin, tetapi saya perlu menghormati keadaan badan saya dan tidak boleh mengabaikan sebarang isyarat yang diberikan.

“Asalkan proses pemulihan terus menunjukkan perkembangan positif, saya sanggup menunggu kerana kembali bertanding dan kembali kepada prestasi terbaik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu turut mendedahkan, keputusan meninggalkan BAM dibuat secara persetujuan bersama tanpa sebarang konflik kerana percaya ia merupakan laluan terbaik untuk meneruskan kariernya pada ketika ini.

“Saya dengan BAM memang tiada apa-apa konflik dan ini adalah keputusan bersama. Kami fikir ini adalah laluan terbaik untuk saya dalam karier pada peringkat ini,” katanya.

Kelmarin, BAM mengumumkan Tze Yong akan menamatkan kerjasama dengan badan induk itu berkuat kuasa 30 Jun ini menerusi persetujuan bersama selepas kariernya sejak dua tahun kebelakangan ini dibelenggu kecederaan belakang serta ligamen anterior cruciate (ACL) yang menjejaskan perkembangannya di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN