JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia memaklumkan masih terdapat data abnormal dalam pengiraan undi bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Pada masa ini, sebanyak 1,223 pusat mengundi (TPS) dilaporkan mengalami kesilapan data.
Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya KPU Indonesia, Betty Epsilon Idroos dalam sidang akhbar diadakan di pejabatnya di Menteng, Jakarta Tengah.
“Daripada 800,000 TPS, sebanyak 1,223 pusat mengundi melaporkan kesilapan data.
“Kami dapati wujudnya data yang tidak konsisten selepas sistem menyemaknya,” katanya seperti dilaporkan Detik News.
Menurut Betty, sebanyak 586,646 TPS sudah menerima data pengiraan undi.
Katanya, ketika ini, proses kemasukan data masih sedang berjalan.
“Setakat ini, sebanyak 71.26 peratus data daripada keseluruhan 823,236 TPS sudah dimasukkan.
“Jumlah itu bersamaan dengan 586,646 pusat mengundi,” katanya.
Sementara itu, Betty menegaskan KPU akan mendapat maklumat segera sekiranya berlaku kesilapan data.
Jelas beliau, pihaknya juga terus berusaha untuk menambah baik data anomali dalam aplikasi Sirekap.
“Kami sentiasa mengumumkan dari hari ke hari menemukan beberapa data yang dikesan oleh sistem sebagai data anomali, berapa jumlah keseluruhannya, berapa banyak setiap hari dan bilangan yang diperiksa.
“Jadi, kami sampaikan maklumat ini secara terbuka dan KPU akan terus menambah baik di peringkat daerah atau bandar,” katanya.










