SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) terpanggil untuk turut memberikan kenyataan berkaitan industri kontraktor perumahan.
Kebelakangan ini isu rumah tidak siap, kontraktor lesap kerap berlaku. Ia bukan perkara baharu dan masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan, sekarang lebih mudah tersebar dengan adanya teknologi komunikasi yang lebih meluas serta bila terlalu ramai yang jadi mangsa.
Situasi ini membuatkan ramai pengguna skeptikal terhadap kontraktor perumahan termasuk yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Akta 520 CIDB mewajibkan sebarang bentuk pembinaan mestilah menggunakan khidmat kontraktor yang berdaftar dengan CIDB.
Ini memudahkan pemilik rumah membuat aduan atau mendapatkan khidmat nasihat dari agensi atau badanbadan berkenaan sekiranya berlaku kes-kes penipuan atau rumah tidak siap atau apa-apa masalah berkaitan pembinaan yang tidak boleh diselesaikan sendiri.
Sekiranya terdapat ketidakpatuhan standard pembinaan yang ditetapkan oleh CIDB, senanglah pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kesalahan yang berlaku.
Bukan hanya kontraktor tidak berdaftar, pemilik rumah juga boleh dikenakan tindakan oleh penguatkuasa CIDB sekiranya menggunakan khidmat kontraktor yang tidak berdaftar.
PKPM amat kesal dengan keadaan ini kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan industri kontraktor perumahan yang semakin berkembang dan trending di Malaysia ketika ini.
Majoriti kontraktor perumahan dipelopori oleh usahawan-usahawan muda dan turut menyediakan peluang pekerjaan yang agak besar kepada rakyat tempatan.
Saya percaya sekiranya industri ini dikawal dan diurus dengan baik secara realistik oleh kerajaan, lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan tersedia.
Ini kerana pada masa ini ramai kontraktor turut bergantung kepada pekerja asing kerana kurangnya minat warga tempatan terhadap pekerjaan ini walaupun pendapatannya agak tinggi, ada yang mencecah sehingga RM6,000 sebulan.
Sejak ditubuhkan, PKPM banyak membantu menyelesaikan aduan berkaitan pembinaan rumah yang diterima sama ada dari ahli PKPM dan pemilik-pemilik rumah yang mempunyai masalah dengan kontraktor atau sebaliknya.
Terdapat juga kes kontraktor menghadapi masalah menyiapkan rumah yang sedang dibina atas sebab-sebab tertentu telah dibantu oleh PKPM sehinggalah pembinaan rumah-rumah tersebut siap sepenuhnya.
Saya menyarankan agar pemilik-pemilik rumah yang ingin membina atau mengubahsuai rumah masing-masing gunakanlah khidmat kontraktor yang berdaftar dengan CIDB.
Janganlah disebabkan ingin harga yang murah pemilik rumah melantik kontraktor yang entah dari mana. Harga murah dan mahal hanyalah persepsi, jika pilih spesifikasi yang tinggi maka tinggilah kosnya, jika pilih spesifikasi rendah, rendahlah kosnya.
Yang penting rumah siap dan selamat diduduki. Ketidaksempurnaan itu tetap ada tetapi banyak jalan penyelesaian sekiranya memilih kaedah yang betul.
Saya juga menyarankan agar kontraktor-kontraktor perumahan menyertai PKPM dengan menjadi ahli. Ia akan lebih mudahkan pertukaran maklumat dan mendapatkan nasihat serta tip bagi menyelesaikan setiap masalah berkaitan proses pembinaan rumah kediaman dari ahli-ahli lain di seluruh Malaysia yang mempunyai pengalaman terhadap masalah yang dihadapi.
Permohonan keahlian PKPM boleh dibuat secara online melalui laman sesawang www.pkpm.com.my atau www.pkpk.org.my – UTUSAN
HASNIRO HASBULLAH
Presiden PKPM










