KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu memperketat pengawal seliaan sistem jualan rokok elektronik dan vape di negara ini termasuk memantau kandungan dalam cecair vape yang kini banyak disalah gunakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kempen Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, ini kerana kandungan cecair vape itu tidak terkandung dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Kata beliau, kerajaan perlu ketatkan kawal selia sistem jualan vape ini sebab kita pun sudah ada undang-undang berkenaan perkara ini dan sekarang kita hanya perlu menunggu secara rasmi ia dikuatkuasakan.
“Pada saya ia perlu ada garis panduan yang tetap bagaimana mereka boleh menjual rokok vape ini, di mana lokasinya, kandungannya bahaya atau tidak.
“Paling penting, tiada pengiklanan secara bebas mengenai vape ini sama ada dalam talian atau sebaliknya.
“Sebab sekarang ini saya lihat, lori yang kita nampak seperti jual cendol, kini mereka sudah semakin advance untuk menjual vape dengan konsep yang sama, hanya di lori-lori sahaja. Ini perlu diperhatikan kembali,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diluluskan Parlimen pada Disember lalu, menetapkan kawal selia menyeluruh dilaksanakan bagi pengeluaran semua produk merokok termasuk vape.
Akta itu bertujuan mengatasi kelompongan undang-undang susulan pengecualian cecair vape bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952, selain selari usaha kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) mulai 1 April 2023.
Selasa lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, turut mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.
Mohd Afiq dalam masa yang sama turut tidak menafikan terdapat banyak pihak yang menyalahgunakan penggunaan vape sehingga terdapat kandungan dadah di dalamnya, sekali gus ia memberi kesan mudarat kepada pengguna vape.
“Ini yang saya kata ia perlu dikawal, setiap penjualan produk vape harus didaftarkan termasuk kandungannya sekali, supaya setiap penjualan boleh dikawal tanpa sebarang masalah,” ujarnya lagi. – UTUSAN










