HATYAI (THAILAND): Pekan Hatyai bertukar sepi setiap hari Isnin hingga Rabu apabila pelancong Malaysia hanya memasuki wilayah itu pada hujung minggu dan cuti umum.
Sepanjang tempoh tiga hari itu, aktiviti urus niaga di sini menjadi ‘suram’ dan banyak premis ditutup terutama gerai-gerai di tepi jalan.
Perkara itu diakui Irfan Mala, 23, yang memberitahu setiap kali tibanya hujung minggu atau cuti sekolah premis kedai makan tempat dia bekerja akan diserbu rakyat Malaysia.
Katanya, situasi itu membuatkan dia dan rakan-rakan tidak menang tangan untuk melayan warga Malaysia yang menikmati dim sum sebagai sarapan pagi.
“Bagaimanapun, kedai ini akan menutup operasinya bermula Isnin hingga Rabu dan kembali dibuka pada Khamis, Jumaat, Sabtu serta Ahad,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu seorang peniaga pakaian Song, 45, berkata, premisnya akan beroperasi sehingga pukul 1 pagi setiap kali hujung minggu atau cuti umum dan persekolahan bagi menyambut pelancong Malaysia.
Katanya, jika hari biasa dia akan berniaga sehingga pukul 8 malam disebabkan ketiadaan pembeli.
“Itulah realiti kami peniaga di sini. Hatyai akan meriah setiap kali tibanya hujung minggu dengan kedatangan rakyat Malaysia,” katanya.
SIBUK
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aktiviti di pekan ini akan menjadi sibuk setiap kali tibanya hujung minggu bermula Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad selain cuti umum dan persekolahan.
Hal ini kerana rakyat Malaysia khususnya di negeri-negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu akan bercuti ke Thailand bermula Khamis hingga Sabtu.
Sementara itu, rakyat Malaysia dari Lembah Kelang akan masuk ke Hatyai bermula Jumaat hingga Ahad.
Utusan Malaysia pada 28 Disember tahun lalu melaporkan, dianggarkan sejumlah RM100 juta mengalir keluar dalam tempoh tiga hari sempena cuti hujung minggu atau cuti persekolahan di Thailand berikutan fenomena rakyat Malaysia bercuti ke negara Gajah Putih itu khususnya Hatyai.
Jumlah tersebut hanya mengambil kira jika seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM1,000 melibatkan 100,000 pengunjung.
Susulan itu, Malaysia dilihat gagal mengambil kesempatan tersebut meskipun mempunyai banyak lokasi menarik pelancongan apabila didakwa pelancong dari negara jiran tidak menjadikan negara ini sebagai destinasi utama pilihan berikutan masalah birokrasi.
Sebagai rekod, dari awal tahun ini sehingga Oktober lalu, seramai tiga juta pelancong Malaysia memasuki Thailand khususnya berkunjung ke Hatyai. Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang iaitu perbezaan yang cukup ketara.
Malah, pada cuti hujung minggu dalam tempoh empat hari dari 15 sehingga 18 Disember lalu sahaja sebanyak 15,397 rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menerusi sempadan negeri ini.
Di Kedah pula, lebih 80,000 pelancong direkodkan memasuki Thailand melalui dua pintu sempadan negeri itu.
Fenomena ‘Hatyai’ itu juga dilihat masih berterusan sempena cuti perayaan Krismas baru-baru ini apabila lokasi pelancongan popular tersebut terus dipenuhi pengunjung dari negara ini. – UTUSAN










