Penjan ubi kayu, makanan zaman Jepun masih digemari

Penjan ubi kayu, makanan zaman Jepun masih digemari

KALSOM ABD RASHID menunjukkan makanan tradisi orang Perak iaitu penjan ubi kayu yang hampir pupus kerana tidak ramai lagi yang membuatnya pada masa kini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Sebut sahaja ubi kayu, pasti mereka yang pernah hidup semasa zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada 1940-an amat menghargai nostalgia makanan popular tersebut.

Disebabkan kesempitan hidup pada era tersebut, ubi kayu menjadi makanan utama sebagai pengganti nasi. Biarpun ada yang menganggap ubi kayu makanan golongan miskin, ia memiliki khasiat yang banyak.

Malah, salah satu keistimewaan sumber karbohidrat ini ialah makanan tradisi negeri ini yang semakin dilupakan, iaitu penjan ubi kayu.

Campuran ubi kayu yang dipotong sederhana kecil, gula melaka, santan dan gula putih menjadikan rasanya manis selain aroma wangi membuatkan sesiapa yang menikmatinya boleh ‘jatuh cinta’.

Menurut Kalsom Abd. Rashid, 59, yang mengusahakan Gerai Abang Ta & Kak Na di Medan Selera @Tualang Sekah, Malim Nawar di sini, kebanyakan penggemar makanan tradisi itu ialah orang lama dan warga emas.

“Mulanya saya agak khuatir juga dengan sambutan yang bakal diterima. Namun, warga emas berusia lebih 60 tahun menjadi pelanggan tetap saya sebaik sahaja menikmatinya kerana dakwa mereka, ia seperti mengembalikan nostalgia semasa kecil.

“Mereka mengatakan penjan ubi kayu ini merupakan sajian utama terutama semasa sarapan pagi atau waktu petang yang dinikmati bersama kopi O panas di atas pangkin di halaman rumah bersama keluarga selepas memerah keringat di kebun atau sawah.

“Dahulu sebelum adanya ladang pokok getah dan kelapa sawit, majoriti orang kampung mengusahakan tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan ubi kayu secara kecil-kecilan atau sara diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kalsom tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan stok ubi kayu kerana banyak dijual di pasar awam berdekatan gerainya selain masih ramai penduduk kampung menanamnya di kediaman masing-masing.

Kebiasaannya, dia memilih saiz ubi kayu yang sederhana dan tidak keras supaya dapat dinikmati penggemarnya dengan mudah.

“Penjan ubi kayu ini merupakan makanan tradisi bagi rakyat negeri ini walaupun generasi muda kini tidak berapa tahu mengenainya, saya tetap terus membuatnya supaya tidak pupus begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×