Pencalonan Kampung Baru Cina modal politik licik, populis?

Pencalonan Kampung Baru Cina modal politik licik, populis?

SEPATUTNYA setelah tamat zaman Darurat atau setidak-tidaknya setelah negara mencapai kemerdekaan, Kampung-Kampung Baru Cina dibubarkan ataupun distrukturkan semula supaya menjadi lebih terbuka dengan kepelbagaian penduduk dan budaya.– GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menimbulkan kritikan dan tentangan pelbagai pihak, khususnya masyarakat Melayu.

Kor Ming berbuat demikian kononnya bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu. Setelah menerima kritikan keras, akhirnya beliau menyebut tidak mahu memanjangkan lagi isu ini.

Sepanjang tempoh Darurat (1948-1960) wujud 430 buah Kampung Baru Cina. Jumlah ini termasuklah 48 buah kampung sedia ada yang turut diserap masuk ke dalam rancangan ini. Pengemaskinian yang dibuat pada 2015 yang membaitkan semakan dan penyelarasan semula mendapati jumlah Kampung Baru Cina adalah sebanyak 613 buah dengan pecahan 436 buah adalah Kampung Baru, 134 buah adalah Kampung Baru Rangkaian dan 43 buah adalah Kampung Bagan.

Kampung Baru Rangkaian merujuk kepada penempatan masyarakat Cina di pinggir atau di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala Kampung Bagan merupakan kampung nelayan yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada etnik Cina yang bekerja sebagai nelayan.

Dalam menganalisis isu ini saya cenderung melihat kewujudan Kampung Baru Cina ini dari dua sudut, iaitu sudut sejarah dan sudut sosiologi. Dari sudut sejarah ia jelas bahawa kewujudan Kampung Baru Cina itu adalah hasil dari sejarah hitam negara yang banyak membawa keburukan kepada negara.

Sayugia difahami bahawa pemberontakkan komunis merupakan langkah atau gerakan keras Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng untuk menawan Persekutuan Tanah Melayu dari penjajah British.

Walaupun ada hujah yang mengatakan bahawa pemberontakkan komunis itu adalah satu gerakan untuk merdekakan tanah air dari cengkaman British, namun bagi saya hujah itu lemah kerana matlamat PKM yang sebenarnya adalah untuk menegakkan sistem pemerintahan komunis di Tanah Melayu di bawah arahan Komunis Antarabangsa (Comintern) yang ditubuhkan pada 1919 untuk mengerakkan revolusi Marxisme atau fahaman Marxisme.

Dalam konteks ini, British dilihat berjasa dalam usaha mengengkang pengaruh komunis di Tanah Melayu walaupun yang ramai perajurit dari kalangan anak peribumi sendiri, termasuk dari Sarawak dan Sabah terkorban.

British terpaksa berbuat demikian kerana ketika itu dunia Barat yang memperjuangkan demokrasi tidak dapat menerima ideologi komunis dan mereka berusaha membendung penyebaran pengaruh komunis dari merebak ke Asia Tenggara, termasuk di Tanah Melayu sendiri.

Bagi bangsa Melayu yang sinonim dengan Islam sudah tentu akan menolak dan menentang cubaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara komunis.

SEGREGASI
Dari sudut sosiologinya kewujudan Kampung Baru Cina di bawah Rancangan Briggs itu menjadikan masyarakat Cina yang tinggal di situ kekal berada dalam pengasingan dan pemisahan. Dalam istilah sosiologinya disebut sebagai segregasi (segregation) yang meninggalkan kesan tidak baik sama ada dari segi hubungan, interaksi dan komunikasi dengan masyarakat peribumi.

Masyarakat Kampung Baru Cina ini membabitkan kedua-dua bentuk segregasi, iaitu rela dan tidak rela.

Segregasi tidak rela membabitkan paksaan pihak yang berkuasa ketika itu, iaitu British yang memaksa etnik Cina yang menyokong komunis tinggal di Kampung Baru. Segregasi rela pula ialah sikap sebahagian besar masyarakat Cina di negara ini yang lebih rela tinggal dalam kelompok masyarakatnya sendiri dan tidak suka sebarang bentuk asimilasi.

Apa yang dilakukan British itu bersifat ‘serampang dua mata’ yang pada hemat saya bukan semata-mata untuk membendung pengaruh komunis tetapi sebagai penjajah.

British bertujuan memperkukuh dasar pecah dan perintah dengan terus mengasingkan etnik Cina dari kaum peribumi. Dalam strateginya itu, British dengan sewenang-wenangnya mengambil dan menggunakan tanah warisan peribumi untuk diserahkan secara sistematik kepada imigran melalui pembinaan Kampung-Kampung Baru Cina.

Dalam konteks ini, tidak mustahil wujudnya muslihat British untuk melemahkan komposisi penduduk Melayu-Islam sebagai usaha jangka panjang untuk melemahkan umat Islam. Cara ini pernah dilakukan British ke atas bumi Palestin ketika mereka menguasai ‘bumi para nabi’ itu dengan cara menggalakkan kemasukan kaum Yahudi dari Eropah dan mengizinkan mereka membina penempatan yang akhirnya membawa kepada wujudnya negara haram Israel. Ini berlaku setelah sebahagian besar tanah warisan rakyat Palestin dikuasai mereka sama ada secara tipu helah ataupun secara kekerasan.

Sepatutnya setelah tamatnya zaman Darurat atau setidak-tidaknya setelah negara mencapai kemerdekaan, Kampung-Kampung Baru Cina itu dibubarkan ataupun distrukturkan semula dari segi komposisi penduduknya supaya ia menjadi lebih terbuka dengan kepelbagaian penduduk dan budayanya.

Namun, ini tidak berlaku, sebaliknya ia kekal dan masyarakat Cina di situ lebih selesa dengan perasaan pemisahan sosial dan budaya.

Justeru, kewujudan lebih 600 buah Kampung Baru Cina itu tidak mempunyai asas yang kuat untuk dijadikan tapak sejarah dan budaya yang dapat diterima, terutama dalam konteks pandangan orang Melayu.

Apa yang dihasratkan menteri itu juga tidak dipersetujui oleh Felow Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong yang menyebut bahawa Kampung Baru Cina tidak sesuai untuk diangkat sebagai tapak warisan UNESCO, apatah lagi untuk dinikmati warga dunia, seperti yang ada pada Georgetown dan Melaka.

Menurutnya, ini disebabkan Kampung Baru Cina itu mempunyai reputasi tidak baik dan tidak mempunyai signifikan sejarah dan budaya positif sepanjang kewujudannya. Beliau berpendapat bahawa tidak ada apa yang menarik pada Kampung Baru Cina ini kerana tiada tradisi budaya yang menonjol, melainkan budaya Cina yang lazim diamalkan di merata Malaysia.-UTUSAN

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×