Pelakon Azhan Rani siap sedia hadapi pendakian ke Island Peak

Pelakon Azhan Rani siap sedia hadapi pendakian ke Island Peak

AZHAN Rani (duduk, kanan) bersama barisan pendaki Island Peak dan EBC bergambar bersama kru SAR dan Kembara Kosmopolitan selepas selesai sesi latihan intensif akhir di Hillock Resort, Hulu Tamu, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATANG KALI: Pelakon, Azhan Rani teruja untuk memulakan misi Pendakian Amal SAR (Summit Attack Resources) Ahsana ke Island Peak & Everest Base Camp (EBC) di Nepal yang akan bermula pada Ahad ini.

Azhan yang bakal muncul dalam telemovie Khunsa pada Ramadan nanti berkata, dia bersama pasukannya bersedia untuk menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 2,120 kaki dari aras laut tersebut walaupun masing-masing gemuruh untuk memulakan misi pendakian itu kerana ia mempunyai kisah yang tersendiri.

“Setelah lebih setahun merancang dan membuat latihan serta persediaan rapi, hari ini merupakan sesi latihan intensif terakhir kami. Ia melibatkan sesi latihan kardio dan ketahanan fizikal serta sesi suai kenal bersama pendaki lain yang akan turut serta ke Island Peak serta EBC.

“Kami rasa teruja kerana pendakian ini bukan misi peribadi tetapi ia merupakan misi pendakian amal bagi mengutip dana untuk disalurkan tabung Ahsana.

“Saya dan SAR turut berterima kasih pada badan dan individu yang sama-sama menyumbang bagi menjayakan misi ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan intensif fasa akhir yang diadakan di Hillrock Resort, Hulu Tamu di sini hari ini.

Sesi latihan yang meliputi “lower body and core workout” itu turut memerlukan pendaki melakukan larian sejauh lima kilometer.

Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 melibatkan keseluruhan 13 orang pendaki yang akan mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula Ahad sehingga 13 Mac depan.

Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak manakala lapan lagi melengkapkan misi ke EBC setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Program amal anjuran Summit Attack Resources dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu merupakan cetusan idea Azhan.

Majlis pelepasan kesemua pendaki tersebut akan disem[urnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad pada hari Ahad, pukul 3 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×