BALING: Seorang pekerja am kontraktor pembersihan di sebuah sekolah, di sini maut selepas digilis sebuah kereta dalam kejadian di Simpang Tiga Kuala Pegang di Jalan Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini.
Dalam nahas pada pukul 7.27 pagi itu, mangsa, Noriza Aziz, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Vario dan dua kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Kelisa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah rumahnya di Kampung Carok Garok menghala ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, manakala Perodua Myvi dari arah Baling ke Kuala Ketil.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal telah mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba menyebabkan Perodua Myvi dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal itu,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kejadian mengakibatkan penunggang motosikal hilang kawalan dan terjatuh di laluan menghala ke arah Kulim sebelum Perodua Kelisa dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar kepala mangsa.
“Wanita terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. Dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN










