PUTRAJAYA: Pemimpin pembangkang Bangladesh, MA Quayum tidak boleh memperbaharui status Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana pasportnya di negara asal telah tamat tempoh.
Itu penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan permohonan Quayum untuk mengesahkan semula statusnya sebagai peserta MM2H di negara ini.
Menurutnya, bagi mendapatkan taraf peserta MM2H di negara ini, tempoh pasport negara asalnya mesti hidup sah laku.
“Kalau pasport tak sah laku atas apa sebab sekalipun ia akan memberi kesan kepada status permohonan MM2H atau status sebagai pemegang MM2H itu dari segi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Quayum kini masih berada di dalam negara ini dan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih.
Malah, individu itu juga membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya tidak diusir ke negara asal.
JIM sebelum ini memberi persetujuan kepada permohonan dikemukakan di mahkamah untuk tidak mengusir Quayum.
Persetujuan JIM itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu melalui akujanji diberikan wakil dari Jabatan Undang-undang JIM, timbalan pendakwa raya Nor Amalina Ismail.
Mahkamah membenarkan permohonan itu (penangguhan) dan menetapkan 5 April ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus.
Pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berusia 63 tahun itu dikehendaki di negaranya selepas dituduh membunuh pekerja bantuan Itali, Cesare Tavella.
Tavella, 50, ditembak mati penyerang bermotosikal pada September 2015 ketika berjoging di kawasan diplomatik Dhaka, ibu negara Bangladesh. – UTUSAN










