PETALILNG JAYA: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini, walaupun data inflasi lebih tinggi di AS, menurut penganalisis.
Memetik laporan Bernama, pada pukuk 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.7750/7805 berbanding dolar AS, berbanding penutup Jumaat lalu pada 4.7765/7820.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit bagaimanapun dijangka diniagakan lebih lemah hari ini, berikutan data dari AS terus mempamerkan penggunaan berdaya tahan, dengan indeks sentimen pengguna yang diterbitkan oleh University of Michigan meningkat 79.6 mata pada Februari, daripada 79.0 mata bulan sebelumnya.
Sementara itu, bank pusat China mengelak daripada memotong kemudahan pinjaman jangka sederhananya, yang kini berada pada 2.50 peratus. Kadar penanda aras kali terakhir dikurangkan pada Ogos tahun lalu.
Mohd Afzanizam berkata, keputusan itu menunjukkan ketidaktegasan People’s Bank of China untuk menyediakan rangsangan kewangan tambahan walaupun ekonomi mengalami tekanan deflasi.
“Daripada itu, dolar AS-ringgit dijangka kekal sekitar 4.76 hingga 4.77 hari ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1846/1885 daripada 3.1780/1818 pada penutup Jumaat lalu, susut berbanding pound Britain kepada 6.0265/0335 daripada 6.0117/0186, dan susut berbanding euro kepada 5.1508/151478 daripada 5.1508/1479 sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia lemah sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.2831/3054 berbanding 13.2559/2763 Jumaat lalu, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5507/5551 berbanding 3.5479/5522.
Mata wang tempatan itu rendah sedikit berbanding peso Filipina pada 8.54/8.56 daripada 8.53/8.55 pada Jumaat lepas, dan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 305.6/306.0 daripada 305.7/306.0 sebelumnya. – UTUSAN










