La House Bahulu jana pendapatan RM60,000 sebulan

La House Bahulu jana pendapatan RM60,000 sebulan

MUHAMMAD Syukri Hassan bersama ibunya, Norela Abdul Rahim menunjukkan bahulu gulung yang mendapat permintaan pelanggan di Kampung Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usahawan muda, Muhammad Syukri Hassan, 24, menjalankan perniagaan bahulu bersama keluarganya di Kampung Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Graduan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) itu menjual bahulu jenis gulung dan cermai dari rumah sahaja sebelum mula mendapat permintaan dan dikenali pelanggan seluruh Malaysia.

Pengasas La House Bahulu, Muhammad Syukri berkata, dia menjual sebanyak 60 hingga 90 keping bahulu sehari dalam tempoh PKP.

“Perniagaan ini adalah usaha ibu, Norela Abdul Rahim,49, yang juga pembuat kuih tradisional di kampung ini, jadi produk bahulu ini saya jadikan sebagai warisan keluarga.

“Ketika PKP, saya tiada kelas pembelajaran dan tidak mempunyai sumber pendapatan, maka saya mengisi masa terluang dan dapat membantu pendapatan keluarga dengan menjual bahulu gulung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas anak sulung daripada empat adik-beradik itu, kini, perniagaan bahulu miliknya telah berkembang sehingga mencecah 300 hingga 600 keping sehari dan menembusi pasaran Sabah, Sarawak serta Singapura.

Mengulas lanjut, dia memberitahu, terdapat tiga jenis bahulu iaitu gulung, cermai dan lapis.

“Terdapat lapan jenis inti bahulu gulung iaitu perisa nenas, strawberi, blueberry, coklat, kacang, kacang merah dan Nutella dengan berat sebanyak 200 gram dengan saiz panjang 10 inci, manakala bahulu cermai pula pelanggan boleh memilih sendiri pelbagai perisa untuk dicampurkan.

“Penubuhan La House Bahulu ini bagi menaikkan nama bahulu gulung, maka tumpuan jualan banyak ke arah bahulu gulung yang kini sudah terjual hampir 9,000 keping sebulan. Bagaimanapun, pengeluaran itu mencapai dua kali ganda pada Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melonjak jualan sehingga RM100,000.

“Alhamdullilah, jualan bahulu gulung termasuk bahulu cermai dan bahulu lapis sejak tiga tahun lalu telah mencecah pendapatan secara dalam talian lebih 324,000 keping dan purata jualan bulanan mencecah RM40,000 hingga RM60,000,” katanya kini sudah mempunyai 14 kakitangan.

Terdapat pelbagai jenis set bagi bahulu gulung, satu gulung pada RM9, manakala set A (lima gulung: RM40), set B (10 gulung: RM80), set istimewa (15 gulung: RM120) manakala set eksklusif (lima bahulu gulung dan satu bekas bahulu cermai: RM65).

Bagi set bahulu cermai, set A (50 biji: RM25), set B (100 biji: RM45) dan set C (150 biji: RM65 ) dan bahulu lapis satu keping RM15, manakala satu set (3 keping: RM35).

Muhammad Syukri turut berkongsi cabaran yang dihadapi seperti kos bahan mentah termasuk minyak, telur, gula dan tepung.

Selain itu, bahulu gulung hanya boleh bertahan sekitar lima hingga tujuh hari dan pihaknya perlu memperketatkan prosedur baharu terutama perkhidmatan kurier yang mengalami lambakan bungkusan terutama pada musim perayaan.

Dia turut menasihatkan anak muda yang mahu menceburi bidang perniagaan perlu berusaha kerana tidak mustahil untuk mencapai kejayaan.

“Dalam perniagaan ini anda akan diuji oleh pelbagai ujian, kita perlu kuat untuk menjadikan ia sebagai satu kenyataan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×