Hamas gesa ICJ keluar perintah henti pencerobohan Israel

Hamas gesa ICJ keluar perintah henti pencerobohan Israel

PENDUDUK Palestin yang dipindahkan berkhemah berhampiran pagar sempadan antara Gaza dan Mesir, pada 16 Februari 2024 di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Kumpulan penentang Palestin, Hamas menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengubah keputusan iaitu menjadikan pe­rintah langsung menghentikan pencerobohan kejam Israel yang membawa kepada pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata di Gaza.

Bagaimanapun, kumpulan itu mengalu-alukan keputusan ICJ baru-baru ini sebagai tindak ba­las kepada permintaan mendesak Afrika Selatan berhubung situasi di Rafah.

Keputusan itu mengesahkan keperluan pelaksanaan segera langkah-langkah sementara yang diperintahkan oleh mahkamah pada 26 Januari lalu untuk keselamatan rakyat Palestin di Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di Perhimpunan Agung pada 7 Februari lalu berkata, ICJ mengikuti perkembangan terkini di Gaza dan Rafah khususnya selain akan meningkatkan secara eksponen apa yang sudah menjadi mimpi ngeri kemanusiaan.

ICJ menyifatkan keadaan itu sebagai berbahaya tetapi tidak menerima permintaan Afrika Selatan untuk langkah-langkah segera tambahan yang terpakai di seluruh Gaza, termasuk di Rafah.

Israel pada Khamis lalu menggesa ICJ untuk menolak permohonan mendesak Afrika Selatan yang meminta mahkamah untuk mempertimbangkan langkah kecemasan tambahan untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza.

Hamas berkata, lebih 2,700 rakyat Palestin dibunuh oleh Israel sejak mahkamah mengarahkan Israel pada 26 Januari lalu.

Kata pergerakan itu, mereka mengesahkan bahawa Israel tidak menghiraukan sistem kehakiman antarabangsa dan terus memperluaskan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.

Hamas seterusnya menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk memikul tanggungjawabnya dan dengan serta-merta menterjemahkan keputusan ICJ kepada keputusan yang berkesan, mewajibkan Israel untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan pencerobohan darat ke Rafah di mana lebih satu juta penduduk Palestin yang kehila­ngan tempat tinggal.

“Mereka yang mengatakan bahawa dalam keadaan apa pun, kita tidak boleh memasuki Rafah pada dasarnya mengatakan kalah dalam perang. Kekalkan Hamas di sana,” katanya dalam satu wawancara dengan rangkaian berita Amerika Syarikat pada minggu lalu.

Pada Rabu lalu, Ketua Bantuan kecemasan PBB, Martin Griffiths menyatakan kebimbangan bahawa pencerobohan darat ke atas Rafah oleh Israel boleh membawa kepada pembunuhan orang awam.

“Saya takut pembunuhan orang di Gaza. Sebab mengapa saya bercakap dengan jelas me­ngenai perkara ini sekarang ialah saya fikir ada pilihan dibuat sama ada untuk menggerakkan operasi ketenteraan ke dalam serangan ke atas Rafah atau tidak,” kata Griffiths.

Lebih separuh daripada penduduk Gaza iaitu lebih sejuta orang bersesak di Rafah, keba­nyakannya dipindahkan dari bahagian lain kawasan yang terkepung.

Griffiths berkata, penduduk Gaza mempunyai sedikit makanan, hampir tiada akses kepada rawatan perubatan, tiada tempat tidur, tiada tempat yang selamat untuk berlindung.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 28,858 rakyat Palestin terbunuh dan 68,677 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×