Kerjaya jururawat janji masa depan cemerlang

Kerjaya jururawat janji masa depan cemerlang

SITI AZIZAH Hamzah menerima ciuman daripada ibunya, Mohaya Marowad sambil diperhatikan oleh bapanya, Hamzah Busu (tiga dari kanan) serta adik beradik yang lain pada Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-16 di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Siti Azizah Hamzah, 24, mahu mengubah stigma masyarakat terhadap karier sebagai jururawat, khususnya apabila generasi muda lebih gemar memilih menjadi pempengaruh dalam media sosial.

Penerima Anugerah Pengerusi Eksekutif Kolej Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) sempena Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-16 itu turut menyeru generasi muda lelaki untuk menyertai bidang berkenaan.

Katanya, karier kejururawatan menawarkan pelbagai peluang pembangunan kerjaya yang baik pada masa depan.

“Ada segelintir pihak melihat kerjaya sebagai jururawat ini hanya sekadar menjaga orang sakit, tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Ilmu yang kita pelajari boleh dimanfaatkan dengan membantu dan menyantuni orang ramai.

“Selain jaminan kerjaya, bidang ini membuka banyak peluang lain termasuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi atau bekerja di luar negara.

“Stigma masyarakat bahawa kerjaya sebagai jururawat hanya sesuai untuk golongan wanita juga tidak lagi tepat kerana semakin ramai lelaki mula memilih kerjaya ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anak ketiga daripada empat beradik itu yang kini bekerja di ECON Medicare Centre, Taman Perling, dekat sini sejurus selepas menamatkan pengajiannya tahun lalu berhasrat menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara sambilan dalam waktu terdekat.

“Walaupun sudah bekerja tetap ketika ini, saya masih mahu terus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan ke tahap lebih tinggi. Saya mahu buktikan bahawa bidang ini banyak membuka peluang kepada diri dan rakan-rakan lain.

“Oleh itu, saya menyeru generasi muda yang mungkin masih belum membuat keputusan tentang kerjaya masa depan mereka untuk mempertimbangkan bidang ini dan INSTEDT. Ilmu yang diperoleh amat bersesuaian dengan kehendak pasaran dan kini graduan kejururawatan terus mendapat peluang pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian,” katanya yang berasal dari Simpang Renggam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, INSTEDT, Datin Hariza Hashim berkata, bidang tersebut memberi jaminan kerjaya kepada penuntutnya kerana memang terdapat permintaan tinggi dalam kalangan jururawat di negara ini.

“Ekoran perpindahan tenaga kerja jururawat mahir ke luar negara, ditambah dengan pertambahan hospital kerajaan dan swasta, bidang ini menjadi tumpuan dan graduan kejururawatan amat diperlukan. Justeru, bidang ini menjadi satu pilihan baik bagi generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×