THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menolak permohonan Afrika Selatan untuk mengenakan lebih banyak tekanan undang-undang ke atas Israel bagi menghentikan serangan di bandar Rafah, selatan Gaza.
Ia berikutan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan Israel masih terikat untuk mematuhi segala keputusan sedia ada yang dilakukan sebelum ini.
Sebelum ini, Pretoria sudah pun memfailkan aduan terhadap Israel di ICJ, dengan mendakwa serangan rejim Zionis ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid atau pembunuhan beramai-ramai.
Mahkamah masih belum membuat keputusan mengenai beberapa isu penting namun pada bulan lalu sudah mengarahkan Israel untuk mengambil tindakan bagi melindungi penduduk Palestin daripada bahaya serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Selasa lalu, pegawai Afrika Selatan memfailkan permohonan tambahan kepada ICJ meminta supaya mengenakan langkah perlindungan baharu susulan persediaan dilakukan Israel untuk operasi ketenteraan baharu di Rafah.
Dilaporkan, lebih separuh daripada 2.4 juta penduduk Gaza mencari perlindungan di Rafah akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Panel hakim ICJ mengakui bahawa perkembangan baharu itu akan meningkatkan lagi konflik yang sudah pun menjadi mimpi ngeri kemanusiaan dengan impak serantau yang tidak dapat dijangkakan.
Jelas hakim, walaupun Israel perlu bertindak segera untuk memastikan keselamatan rakyat Palestin terjamin, ia tidak memerlukan `langkah-sementara tambahan’ tersebut.
“Israel tetap terikat untuk mematuhi sepenuhnya kewajibannya di bawah Konvensyen Genosid dan dengan Perintah tersebut,” menurut penghakiman ICJ yan merujuk kepada keputusannya pada 26 Januari lalu.
Biarpun permohonan itu ditolak, Afrika Selatan menerima keputusan terbaharu ICJ.
Jurucakap Presiden Cyril Ramaphosa, Vincent Magwenya berkata, `situasi berbahaya’ di Gaza menuntut pelaksanaan segera dan berkesan segala langkah kecemasan yang diarahkan mahkamah dalam keputusannya pada 26 Januari.
“Mahkamah menerangkan dengan jelas bahawa pematuhan kepada langkah sementara sedia ada memerlukan Israel memastikan keselamatan semua rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya menerusi kenyataan.
Menteri Luar, Israel Katz berjanji Israel akan menyelaras dengan Mesir sebelum melancarkan sebarang operasi ketenteraan di bandar sempadan selatan Rafah.
Kebimbangan semakin meningkat bagi ratusan ribu penduduk yang melarikan diri dari utara Gaza ke Rafah ketika tentera Israel mara ke wilayah itu untuk melancarkan perang menghapuskan Hamas.
Namun, Israel kini merancang operasi besar di bandar yang penuh sesak itu, dengan sempadan masuk ke Mesir ditutup dan hampir 1.4 juta rakyat Palestin pada dasarnya terperangkap di sana.
* HOSPITAL NASSER DIKEPUNG
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan hospital terbesar Gaza yang masih beroperasi dikepung kelmarin dalam perang Israel dengan kumpulan Hamas.
Situasi itu secara tidak langsung meletakkan pesakit dan doktor dalam keadaan tidak berdaya ketika pesawat perang melancarkan serangan di Rafah, tempat perlindungan terakhir bagi penduduk Palestin.
Tentera Israel masih berada di Hospital Nasser di bandar Khan Younis selepas menyerbu kemudahan itu pada awal pagi Khamis.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lima pesakit di unit rawatan rapi meninggal dunia akibat bekalan elektrik terputus dan kekurangan oksigen disebabkan serangan itu.
Israel mendakwa pasukan tenteranya menyerbu hospital itu kerana pejuang Hamas bersembunyi di sana.
Malah, tentera Israel mendakwa menahan lebih 20 pejuang di hospital di Gaza dalam serbuan sejak Oktober tahun lalu.
Kumpulan Hamas menafikan pejuangnya berada di hospital itu dan menyifatkan dakwaan Israel sebagai `pembohongan yang bertujuan menutup kemusnahan hospital’.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan bekalan elektrik terputus di hospital itu dan kekal tanpa elektrik kelmarin sehingga menjejaskan penjagaan terhadap pesakit.
Bagaimanapun, dakwa tentera Israel, pihaknya membaiki satu janakuasa dan menyediakan sebuah lagi untuk memastikan `semua sistem penting terus beroperasi’. – AFP/REUTERS










