SEREMBAN: Kumpulan hartanah bersepadu milik penuh Lembaga Tabung Haji, TH Properties Sdn. Bhd. tidak terlalu bimbang untuk membekalkan hartanah lebih daripada apa yang boleh diterima oleh pasaran kerana optimis masih mendapat permintaan yang kekal tinggi.
Ahli Lembaga Pengarah TH Properties, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata, berdasarkan trend tempahan, pihaknya melihat permintaan yang tinggi untuk rumah-rumah teres kontemporari dua tingkat.
Oleh itu, pihaknya ingin memenuhi pasaran dengan melancarkan lebih banyak rumah bagi kategori tersebut.
“Walaupun berhadapan cabaran, seperti kenaikan isu kenaikan kos buruh dan harga bahan mentah, tetapi TH Properties mampu mengawalnya dan percaya dalam tempoh pemulihan ini pembelian hartanah tetap ada,” katanya ketika ditemui pada Karnival Hartanah Bandar Enstek di di sini hari ini.
Beliau berkata, TH Properties juga mengutamakan pembangunan perumahan yang mempunyai kemudahan komuniti yang eksklusif sebagai salah satu tarikan.
Terbaharu katanya, TH Properties melancarkan Pristine Premier dan Riposo Biz Centre, iaitu projek perumahan dan komersial terbaharu syarikat itu.
“Pristine Premier yang terdiri daripada 51 unit rumah terus dua tingkat, merupakan fasa terakhir projek Pristine dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM19.18 juta.
“Pembangunan ini menampilkan landskap berinspirasikan alam semula jadi dan reka bentuk seni bina kontemporari dengan pelbagai pilihan saiz daripada 20×80, 22×77 sehingga 22×90 serta pilihan keluasan dari 1,662 kaki persegi hingga 1,829 kaki persegi,” katanya.
Menurut beliau, konsep dan ciri-ciri reka bentuk yang dibina di dalam rumah tersebut adalah selari dengan permintaan pasaran.
“Tiga fasa projek Pristine sebelum ini telah habis dijual sepenuhnya dan kami menjangkakan pelancaran projek baharu ini akan turut diterima baik oleh para pembeli,” katanya lagi.-UTUSAN.











