Beli kelengkapan sekolah lebih murah di empat pasar raya

Beli kelengkapan sekolah lebih murah di empat pasar raya

ALLEX Seah Shoo Chin merasmikan JIR BTS 2024 di Keluargaku, Bukit Baru, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat pasar raya terpilih di Melaka menawarkan harga 30 peratus lebih rendah untuk pembelian pakaian dan kelengkapan persekolahan sempena Jualan Ihsan Rahmah Back To School 2024 (JIR BTS 2024), bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, ibu bapa boleh membuat pembelian di Keluargaku, Bukit Baru serta tiga Pasar Raya Mydin iaitu di MITC, Jasin dan Pulau Sebang.

Beliau berkata, inisiatif bertujuan meringankan beban keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah itu akan berakhir 3 Mac ini.

“JIR BTS 2024 dianjurkan bagi persediaan kembali ke sekolah yang bakal tiba pada Mac dan penjimatan harga ditawarkan adalah sehingga 30 peratus, lebih murah berbanding harga biasa ditawarkan di pasaran.

“Antara kelengkapan ditawarkan di semua empat pasar raya ini adalah seragam sekolah termasuk pakaian kokurikulum, kasut sekolah, alat tulis dan beg sekolah. Untuk tawaran ini tiada had pembelian yang ditetapkan untuk setiap keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran di Keluargaku, Bukit Baru di sini, hari ini.

Tambah Allex, entiti perniagaan lain dialu-alukan untuk turut serta menjayakan JIR BTS 2024 bagi memberi lebih banyak pilihan kepada ibu bapa.

Jelasnya, walaupun harga ditawarkan adalah lebih rendah, orang ramai tidak perlu khuatir dengan kualiti setiap kelengkapan dijual.

“Setakat ini hanya empat pasar raya yang bersetuju bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menjayakan program ini. Sekiranya ada pemain industri lain yang berminat, kami amat mengalu-alukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×