Institusi zakat perlu bantu atasi miskin tegar

Institusi zakat perlu bantu atasi miskin tegar

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan peserta Majlis Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, semalam. – UTUSAN/ IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Institusi zakat diminta memainkan peranan membantu menyelesaikan ma­salah kemiskinan tegar di negara ini melalui dana yang mereka diterima setiap tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka tidak seharusnya dilihat sebagai institusi biasa yang sekadar menjana pendapatan sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, zakat adalah institusi penting yang dikaitkan dengan usaha membanteras kemiskinan.

“Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di ne­geri-negeri, walaupun ia bidang kuasa negeri, saya tidak boleh menerima kenyataan negeri boleh mengumpul dana zakat yang besar, tetapi masih ada kelompok miskin tegar.

“Saya hendak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Za­kat Pulau Pinang 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, disebabkan itu, zakat tidak harus dilihat sebagai satu institusi biasa dan ia perlu diuruskan dengan tatakelola yang baik.

“Sebab itu kejam bagi orang yang menguruskan zakat itu cuai dan khianat, sebab institusi ini terlalu penting dalam membina kekuatan ummah. Negara kalau kaya macam mana pun, kutipan zakat berbilion pun, ia tidak mungkin berhasil kalau tidak ada pengurusan yang baik.

“Setiap sen yang digunakan, wang yang dikutip atas nama zakat itu mesti dipertanggungjawabkan, apa pun alasan untuk rakyat, pelaburan, daya cipta dan teknologi atau semua yang perlu dalam negara madani ini, ia (zakat) perlu selesaikan masalah asas iaitu membasmi kemiskinan tegar rakyat,” katanya.

Disebabkan itu, Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa seperti menggunakan kedudukan untuk kayakan diri sendiri dan keluarga.

“Sebab itu, saya aneh apabila memikirkan ada yang meng­anggap ia (penyalahgunaan) tidak penting,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi laporan yang beliau terima, empat negeri iaitu Me­laka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah hampir 100 peratus menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negeri masing-masing.

“Setakat ini yang berhasil 100 peratus (membasmi miskin tegar) adalah Melaka, Ne­geri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya masih belum dapat laporan terperinci dari Pulau Pinang sepatutnya Pulau Pinang jumlah miskin tegar itu jauh lebih kecil, saya beri Timbalan Ketua Menteri tempoh seminggu untuk beri laporan,” katanya.

Dua negeri yang mencatat kutipan zakat melebihi RM1 bilion pada tahun 2022 adalah Wilayah Persekutuan dan Se­langor.

Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya me­ngutip keseluruhan zakat RM1.03 bilion sepanjang tahun 2022 manakala Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan sebanyak RM1.05 bilion.

Sementara itu, selain pembasmian kemiskinan, Anwar juga menyeru pengurusan zakat untuk mengambil langkah-langkah memperkasa golongan kurang berkemampuan untuk bersaing dan merebut peluang dalam sistem meritokrasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×