PETALING JAYA: Sebanyak 100,000 pengunjung dijangka menghadiri Fiesta Laksa 2.0 bermula 23 Februari hingga 3 Mac ini.
Festival anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor dan Kelab Penaga Kita itu akan diadakan di Dataran Niaga Penaga Kita, Pulau Pinang dengan menghimpunkan lebih 18 jenis laksa dari seluruh negara.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor, Nasrul Hisham Bokhari berkata, menerusi penganjuran festival itu juga sekali gus dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke kawasan pinggir bandar di negeri berkenaan.
“Fiesta Laksa 2.0 bakal menghimpunkan lebih 18 jenis laksa dari seluruh Malaysia dengan memilih Pulau Pinang yang sinonim dengan gelaran ‘syurga kaki makan.’
“Apa yang penting, penganjuran kali ini mempunyai matlamat yang sama iaitu mengumpulkan laksa seluruh negara yang berbeza rasa, keunikan dan bahan serta ramuannya. Antara jenis laksa yang ada termasuk Laksa Penang, Assam Laksa, Laksa Kedah, Laksa Kedah Teluk Kechai, Laksa Lemak Pendang, Laksa Beras Sarang Burung, Laksa Singapura, Laksa Siam, Laksa Johor, Laksa Sarawak, Laksa Nyonya Melaka, Laksa Pahang dan Laksa Temerloh Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Nasrul Hashim, penganjuran acara tersebut juga dapat membantu penjaja kecil yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Nasrul Hashim berkata, pihaknya turut berhasrat menjadikan fiesta laksa ini sebagai acara tahunan yang mampu mengumpulkan lebih banyak variasi laksa seluruh negara bagi memberi peluang orang ramai mengenali keunikan dan keenakan laksa setiap negeri.
“Kami juga berhasrat untuk menganjurkannya di peringkat kebangsaan di Putrajaya pada penghujung tahun ini di samping memperkenalkan festival ini dapat mula menjelajah ke negeri lain di Pantai Timur atau di selatan tanah air.
“Kami berharap agar makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia ini dapat diwartakan sebagai warisan negara,” katanya.
Menurut Nasrul Hashim lagi, program ini dalam masa sama dapat menggalakkkan pelancong dalam dan luar negara untuk mengunjungi daerah itu.
“Kejayaan Fiesta Laksa 1.0 pada Disember 2023 dengan jualan melebihi RM150,000 dalam tempoh empat hari dapat menjadi bukti kejayaan fiesta ini yang menerima sokongan daripada masyarakat sekitar termasuk mereka yang berada di utara tanah air,” jelasnya. – UTUSAN










