PETALING JAYA: Pas kini meletakkan harapan kepada UMNO untuk merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU255) memandangkan parti itu bukan lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, Pas mahu UMNO meneruskan usaha tersebut dengan mengguna pakai draf yang disiapkan oleh parti itu sebelum ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini bagi memastikan proses penggubalan undang-undang tidak perlu bermula daripada peringkat awal.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, isu bidang kuasa mahkamah syariah dikaji secara komprehensif dan draf RUU355 sudah lengkap walaupun negara diuji pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik.
“Jika kerajaan serius memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah, saya mencadang kerajaan boleh terus guna pakai draf RUU355 yang sudah siap.
“Sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat tanda-tanda daripada kerajaan berhubung komitmen mereka untuk membentang RUU355 ini di Parlimen.
“Oleh itu, saya menyeru UMNO agar memainkan peranan serius untuk mengangkat agenda ini atau akan terus dilihat rakyat sebagai lemah dan hanya mengikut telunjuk DAP,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, beliau mempersoalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkenaan status RUU tersebut.
“Di manakah sebenarnya draf RUU 355 ini sekarang dan apakah kerajaan akan meneruskan usaha yang dimulakan Pas sebelum ini?
“Draf RUU355 yang ada sebelum ini telah pun disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022 dan sepatutnya sudah sedia untuk dibawa ke Parlimen pada bila-bila masa,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, peguam syarie, Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar berkata, meluluskan RUU355 bagi memperkasa institusi mahkamah syariah, lebih utama berbanding mencadang satu lagi usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan sama.
RUU355 itu dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang daripada Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei 2016, namun, perbahasannya tertangguh beberapa tahun sehingga tidak lagi timbul dalam mesyuarat Parlimen.
Katanya, tiada keperluan untuk Pas mendesak kerajaan meminda perlembagaan dan parti itu sepatutnya bertanggungjawab merealisasi RUU355 semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
Baru-baru ini, Pas dalam sidang akhbar mahu mengemukakan RUU persendirian meminda perlembagaan menjelang mesyuarat Parlimen tidak lama lagi, namun tidak menjelaskan bentuk pindaan peruntukan perlembagaan yang terlibat.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum bagi mahkamah syariah untuk kesalahan jenayah syariah, tanpa melibatkan masyarakat bukan Islam, namun, ia hanya di peringkat usul tanpa perbahasan.
Ia juga memperuntukkan pemberian dan penyeragaman bidang kuasa kepada mahkamah ditubuh di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicara kesalahan di bawah hukum syarak.
Pada 13 Mac 2023, Mohd. Na’im dilaporkan berkata, kerajaan menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar dalam menambah baik Akta 355 bagi memartabat perundangan syariah.
Pada 23 Mei 2023, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa, usaha partinya merealisasi pindaan RUU355 mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya daripada DAP.
Isu pindaan Perlembagaan pula timbul berikutan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah dikuatkuasa di negeri itu.
Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, berjaya mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara. – UTUSAN










