KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal sebak selepas menerima bantuan kelengkapan sekolah penggal baharu untuk tiga anaknya di sini semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Ruslizawati Che Rashid, 47, berkata, pendapatan sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.
“Penggal baru persekolahan bermula sekali dengan awal Ramadan dan situasi itu membuatkan saya menjadi buntu.
“Itu belum lagi persiapan menyambut Aidilfitri. Namun, saya bersyukur apabila anak-anak terpilih menerima bantuan persekolahan ini yang banyak membantu,” katanya ketika ditemui pada program ‘Back To School’ Yayasan Raja Shamri (YRS) di sini semalam.
Ruslizawati memberitahu, bantuan itu membolehkan dia memberi tumpuan kepada persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri jika mempunyai rezeki lebih.
Sementara itu, Pengerusi YRS Raja Shamri Raja Hussin berkata, ini tahun ke-10 pihaknya membantu golongan yang tidak berkemampuan dengan peruntukan RM50,000 untuk program ‘Back To School’ hasil sumbangan orang ramai. – UTUSAN










