SEBAIK mana pun seorang suami atau isteri, sebanyak manapun hartanya, ia bukan hak milik kita yang
mutlak.
Mereka adalah pinjaman daripada Allah untuk kita jaga dan menjalani hidup bersama dengannya.
Jika tidak diambil orang lain, ia akan kembali kepada maha penciptaNya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Aidil (bukan nama sebenar) yang diuji dua kali kehilangan insan tercinta bergelar suami.
Aidil yang saya temui baru-baru ini berkata, ujian rumah tangganya bermula ketika usia perkahwinan memasuki enam bulan.
Sangka Aidil, dia dan suami, Malek (bukan nama sebenar) akan kekal bersama hingga ke akhir hayat.
Namun ia tidak menjadi seperti apa yang diimpi. Ditakdirkan Malek berjumpa dengan bekas teman wanitanya sekali gus mengubah hati dan perasaan lelaki itu.
Bercerita lanjut, kata Aidil, di awal usia perkahwinan, mereka menjalani kehidupan manis sebagaimana pasangan suami isteri yang lain.
Segalanya indah belaka. Sekejap tak memandang wajah, terasa rindu yang teramat. Tidak lama selepas itu, perubahan dirasakan ke atas Arief apabila sudah mula pulang lewat.
Kata Aidil, sikap Malek mula berubah sebaik dia pulang dari urusan kerja di Johor Baharu.
Malek mula menjauhkan diri dan kurang mengendahkan dirinya.
Setiap hari Malek pulang lewat dan memberi alasan ada kerja tambahan. Tiba hujung minggu pula ‘hilang’ hendak ke mana.
Akhirnya, Aidil dapat menghidu dan membongkar bahawa Malek ada hubungan sulit dengan bekas teman wanitanya.
Difahamkan mereka bertemu ketika masing-masing ada urusan kerja di luar daerah.
Apabila Aidil bertanya, Malek enggan mengaku. Dibiarkan semakin menjadi-jadi pula.
Sehinggalah pada suatu hari, Malek pulang dan memberitahu mahu melepaskan Aidil kerana hati dan perasaanya telah beralih kepada wanita lain.
Hancur luluh hati dan perasaan Aidil ketika itu. Namun dia cuba memujuk hati.
“Untuk apa saya meneruskan kehidupan dengan lelaki yang sudah tidak ada perasaan cinta dan sayang kepada saya.
“Saya pasrah dan redha dengan ketentuan jodoh,” cerita Aidil.
Akhirnya, pada pertengahan Jun 2009, Malek melafazkan talak kepada Aidil.
Dalam tempoh hidup sendirian, Aidil cuba mengelak diri untuk jatuh cinta dengan mana-mana lelaki.
Kata wanita berasal dari Georgetown, Pulau Pinang itu bukan kerana dia serik, tetapi masih belum benar-benar mampu melupakan lelaki yang pertama kali mencuri hatinya itu.
Sehinggalah dia bertemu dengan Izzul (bukan nama sebenar), seniornya semasa menuntut di universiti.
Dia mula cuba membuka hati untuk lelaki lain. Rupa-rupanya, selama ini Izzul menyukai dan mengikuti
perkembangan hidupnya.
Berstatus janda muda tanpa anak tetap ada ujian menanti. Awalnya, hubungan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Izzul.
Bagaimanapun, jodoh mereka kuat dan akhirnya diijab kabul.
Selepas berkahwin, Izzul memintanya berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Awalnya Aidil tidak bersetuju, namun setelah berfikir semasak-masaknya, dia akur.
Aidil berharap dengan tidak bekerja dia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga terutama suami dan anak-anak yang bakal dilahirkan.
Dia juga menanamkan azam mahu menjadi isteri bertanggungjawab kepada suami dan ibu kepada anak-anak.
Sedekad hidup bersama, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata.
Kehidupan dilalui sangat indah. Ini kerana Izzul sangat-sangat menyayangi Aidil sepenuhnya. Aidil sangat gembira dengan kehidupannya.
Namun, disangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Kehidupannya diuji lagi. Pada suatu pagi dia menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali memaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.
“Masa dapat panggilan itu, saya dalam perjalanan pulang dari menghantar anak bongsu di tadika berhampiran. Saya terkejut dan hampir tak percaya,” ceritanya.
Mengimbas kembali insiden itu, Aidil berkata suaminya terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumah ke pejabat pada penghujung November 2020.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, motosikal yang ditunggang suami terbabas dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Bukan mudah untuk saya lalui semua itu. Kehilangan tempat bergantung ketika anak-anak masih kecil,’
imbasnya.
Namun kata Aidil, Allah tidak kejam. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
“Alhamdulilah, semasa hayat arwah suami dia ada meninggalkan sedikit wang simpanan. Dapatlah kami tiga beranak meneruskan kehidupan.
“Saya juga tidak duduk diam dan memulakan perniagaan sendiri. Ketika itu memang kehidupan
sangat sukar dilalui lebih-lebih lagi ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun saya tidak cepat putus asa. Saya gunakan kelebihan membuat kuih muih dengan berniaga secara dalam talian.
“Alhamdulih, hari ini sudah masuk empat tahun saya membesarkan anak-anak sendirian dan perniagaan saya pun semakin maju,” ujarnya gembira.
Sebelum mengakhiri perbualan, Aidil sempat menasihati semua wanita agar sentiasa bersiap sedia kerana dalam perkahwinan segala kemungkinan boleh berlaku.
Sebab itu, mereka perlu ada persediaan mental dan fizikal.
“Muka cantik, duit banyak pun tak guna, suami baik sekalipun boleh berubah sekelip mata.
“Apabila kita sayang kepada seseorang, biarlah bersederhana, agar tidak terlalu sakit di saat kehilangannya,” ujarnya penuh makna.
Sesungguhnya sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Dari Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: Cintailah orang yang kami cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai. ( HR . At-Tirmidzi No. 1997).









