Pemegang kad UNHCR edar dadah di pasar borong

Pemegang kad UNHCR edar dadah di pasar borong

ASISTEN Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari dalam sidang akhbar di IPD Sentul, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan warga Myanmar mengedar dadah di pasar borong untuk kegunaan rakan senegara  mereka terbongkar selepas tiga lelaki ditahan polis menerusi serbuan di Taman Sri Kuching, Sentul di sini, Selasa lalu.

Kesemua suspek berusia 24 hingga 54 tahun itu diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan di daerah Sentul. 

Menurutnya, dadah tersebut dipercayai untuk pasaran sekitar di Kuala Lumpur selain menyasarkan kepada pekerja warga Myanmar di pasar borong. 

“Polis percaya dadah ini diperoleh daripada seorang individu dari Pantai Timur.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas dadah jenis pil yaba seberat 1,604 gram, ganja (104 gram), daun kering disyaki ganja (20 gram) dan syabu (102 gram),” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek  mendakwa sebiji pil yaba dijual dengan harga RM11. 

Jelasnya, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu disyaki telah aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk kenal pasti ahli sindiket dan sumber bekalan dadah terbabit,” ujarnya.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 19 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×