MELAKA: Seorang pemandu lori berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didakwa menipu berkaitan tender pajakan ladang kelapa sawit membabitkan kerugian lebih RM1.02 juta.
Tertuduh, M. Gopala Krishnan, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman selepas pertuduhan dibicarakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang pengarah urusan untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajakan ladang kelapa sawit.
Tindakan itu dengan curangnya telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan Perindustrian Lendu dalam daerah Alor Gajah pada Jun 2023.
Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum setahun atau maksimum 10 tahun berserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM45,000 selepas mengambil kira faktor kesalahan dilakukan tertuduh melibatkan nilai kerugiaan tinggi.
Peguam K. Shareveen dan Daniel Savarimuthu merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, perlu menjaga ibu sakit dan mempunyai lima anak yang masih kecil.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. – UTUSAN










