KUALA LUMPUR: Cubaan empat penjenayah dikehendaki di Taiwan yang cuba mewujudkan hab sindiket penipuan pusat panggilan di Malaysia untuk mengumpan dan menjerat mangsa berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi khas di dua premis sekitar ibu negara pada 30 Januari lalu berjaya menahan lapan individu terdiri daripada empat lelaki warga Taiwan dan empat warga tempatan berusia 31 hingga 44 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati empat warga Taiwan itu disyaki baru tiba di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, hasil kerjasama pihak berkuasa Taiwan, polis berjaya mengesan suspek tersebut bersama keempat-empat mereka termasuk seorang wanita warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati empat suspek lelaki warga Taiwan itu berstatus ‘dikehendaki’ oleh pihak berkuasa Taiwan kerana terlibat dengan jenayah penipuan dan jenayah terancang di negara tersebut.
“Selain itu, kesemua suspek Taiwan itu disyaki baru sehari dua tiba ke Malaysia dan telah terlibat dalam usaha mewujudkan hab penipuan mereka di sini, namun berjaya diberkas sebelum sempat bertapak dan beroperasi di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Menurut Ramli, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya 12 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set dokumen, tiga pasport, dua kad akses selain menyita dua buah kereta daripada sindiket itu.
Katanya, kesemua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 13 Februari lalu untuk proses tindakan selanjutnya.
“Jabatan ini yakin, kerjasama dengan polis Taiwan dalam kes ini telah berjaya membendung kewujudan satu lagi pusat panggilan penipuan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










