PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan suku keempat (S4) 2023 dan tahunan hari ini.
Laporan itu akan memberikan gambaran mengenai prestasi ekonomi pada tahun lepas dan boleh dijadikan ukuran tahun ini.
Sebelum ini, penganalisis menjangkakan Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) S4 2023 pada kadar 3.4 hingga 3.6 peratus manakala KDNK 2023 pada 3.8 peratus.
Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik pada suku pertama 2023 dengan KDNK berada pada 5.6 peratus.
Bagaimanapun, pertumbuhan menjadi perlahan pada suku kedua dengan KDNK jatuh ke paras 2.9 peratus, namun kembali mengukuh suku ketiga dengan KDNK pada 3.2 peratus.
Pada 2022, negara merekodkan pertumbuhan KDNK 8.7 peratus, jauh lebih kukuh berbanding 2021 sebanyak 3.1 peratus.
Bagi KDNK 2023, kerajaan sebelum ini meletakkan sasaran antara 4 hingga 5 peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan kepada prestasi ekonomi negara dari suku pertama hingga suku ketiga 2023, secara kumulatifnya, KDNK 2023 diunjurkan berada pada kadar 3.9 peratus.
Jelas, Aimi Zulhazmi, peningkatan suku ketiga kepada 3.3 peratus daripada 2.9 peratus yang dicatatkan semasa suku kedua, meletakkan posisi ekonomi negara mungkin mencapai 3.8 peratus hingga 4.0 peratus.
Menurut beliau, sektor ekonomi domestik Malaysia masih berkembang baik dan mengekalkan momentum positif.
“Ia didorong oleh pihak kerajaan dan swasta yang terus memberikan fokus kepada segmen itu dengan pelbagai aktiviti serta dasar yang strategik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu katanya, sektor pelancongan, runcit, makanan dan minuman terus berkembang pesat turut memberikan kesan positif kepada ekonomi domestik pada akhir 2023.
“Industri pelancongan berkembang pesat dan dijangka akan melebihi sasaran 18 juta ketibaan pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun ini.
“Bagi sembilan bulan pertama 2023, jumlah itu telah pun berjumlah 14 juta dan menjana RM49 bilion dalam resit pelancong,” ujarnya. – UTUSAN










