KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, dunia perlukan agenda perdagangan baharu berteraskan pendekatan lebih segar bagi mengemudi negara-negara untuk bergerak seiring demi kejayaan bersama.
Beliau berkata, agenda tersebut mengutamakan gaji yang adil untuk golongan pekerja selain menegakkan kelas pertengahan yang teguh di ekonomi maju dan membangun.
Selain itu katanya, dunia juga perlu memastikan perdagangan membantu mewujudkan masyarakat yang lebih baik selain membantu negara-negara memperoleh cukai daripada syarikat multinasional.
Jelasnya, cukai itu bagi membolehkan negara-negara menyediakan perkhidmatan, khsusunya perkhidmatan kesihatan selain jaminan daripada kesepaduan sosial.
“Perdagangan perlu menghubungkan titik antara iklim, sara hidup masyarakat kelas pertengahan dan memastikan tenaga kerja sihat dan berasa terjamin mengenai kehidupan mereka, supaya mereka boleh berperanan sebagai pengguna, bukan pekerja semata-mata.
“Ini hanyalah pandangan umum untuk menjelaskan kepada ahli ekonomi APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) bahawa kita perlu memikirkan agenda perdagangan baharu. Ia tidak boleh terikat dengan klise lama, sebaliknya perlukan pendekatan baharu,” tegasnya berucap pada perasmikan mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (ABC) dihoskan oleh ABAC Malaysia sini.
Mengulas lanjut, Liew berkata, ketegangan geopolitik dan peperangan kini menjadi tajuk utama berbanding tidak dekad lalu apabila dunia menjadi tempat lebih sarat dengan sentimen optimis.
Beliau turut menyifatkan idea APEC sebagai penekanan visi alternatif Asia Pasifik yang aman, makmur serta kolaboratif dan di sebalik perpecahan yang wujud, kerjasama ekonomi antara negara masih menjadi usaha yang wajar ditegakkan.
Katanya, tiada perkumpulan serantau lain yang boleh menyaksikan Amerika Syarikat, China, Russia mampu duduk di meja yang sama.
“Kewujudan APEC itu sendiri sudah menjadi alasan untuk diraikan dan memberi kita satu bentuk organiasi dan visi alternatif. Jelaslah APEC memberi kita harapan dalam tempoh suram global,” katanya.
Menurut Liew, Malaysia sendiri melihat APEC kekal sebagai forum penting dalam menggariskan strategi dan aspirasi ekonomi negara.
Katanya, dari peringkat memupuk landskap digital yang pesat untuk melindungi persekitaran bersama, inisiatif domestik Malaysia itu juga sebenarnya melaungkan semangat agenda APEC.
Bersandarkan kepentingan itu katanya, Malaysia bertindak memperkenalkan dua dasar utama pada tahun lalu iaitu Pelan Unduk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenagara Negara (NETR). – UTUSAN










