JAKARTA: Penganalisis politik menyifatkan kemenangan Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dengan memperoleh peratusan undi paling banyak, disebabkan pengaruh Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Malah, kata pakar, dengan kemenangan pasti itu, pemimpin berkenaan boleh mengharapkan ganjaran politik yang lumayan.
Prabowo bersama pasangannya Gibran Rakabuming Raka mendahului dua pesaingnya, Ganjar Pranowo-Mahfud MD dan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dalam pusingan pertama.
Lapor The Straits Times, Jokowi dikatakan pernah berkempen untuk Prabowo walaupun pemimpin yang popular itu secara terang-terangan tidak pernah menyatakan sokongan kepada mana-mana calon untuk menggantikannya.
Namun, Jokowi baru-baru ini mengadakan lawatan ke kawasan pilihan raya di Jawa Tengah yang mana presiden itu bersama Prabowo menikmati hidangan sup bebola daging di sebuah gerai tepi jalan sambil disaksikan orang ramai.
Beberapa hari sebelum lawatan itu, Jokowi menegaskan presiden semasa dibawah undang-undang dibenarkan berpihak kepada mana-mana pihak dalam pemilihan presiden.
Made Supriatma dari ISEAS-Institut Yusof Ishak berpandangan Jokowi dan keluarganya kini dijangka `memohon konsesi yang lebih besar’.
Katanya, ia termasuk peranan ekonomi penting diberikan kepada Gibran di Jakarta dan portfolio membabitkan beberapa kementerian bagi penyokong setia Jokowi.
“Sebab itu, Jokowi benar-benar mahu pilihan raya ini tamat dalam satu pusingan.
“Kenyataan (kerajaan) dinyatakan kepada orang ramai bahawa pilihan raya satu pusingan akan membawa penjimatan kepada bajet.
“Namun, di sebalik kenyataan itu, pengiraan pantas pilihan raya satu pusingan dilihat sebagai kemenangan mutlak untuk Jokowi,” katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi dikeluarkan enam institusi yang melakukan tinjauan berdaftar, kiraan pantas menunjukkan gandingan Prabowo-Gibran meraih lebih 50 peratus undi untuk memperoleh kemenangan dalam Pilpres 2024.
Sebelum ini, Prabowo kalah kepada Jokowi dalam Pilpres 2014 dan 2019 sebelum bergabung dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). – AGENSI










