HARI ini Universiti Utara Malaysia (UUM) menyambut ulang tahun ke-40. Jika pada 1984, UUM menerima kemasukan 325 pelajar, hari ini enrolmen pelajar sudah mencecah 32,000 pelajar.
Pada 1984, bilangan pensyarah UUM hanya sekitar 42 orang dan kakitangan pentadbiran 143 orang, kini bilangan pensyarah mencecah 1,200 manakala staf pentadbir 1,700.
Terima kasih khususnya kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi yang berterusan dari dulu hingga sekarang sentiasa menyokong usaha menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka dengan peruntukan RM580 juta untuk pembinaan kampus induk di Sintok pada 1990 hingga kini menjadi kampus menarik dan wadah ilmu pengurusan.
Hasil usaha warga UUM sepanjang tempoh 40 tahun, berjaya meletakkan institusi ini berada di persada kecemerlangan pada 2023 dengan mendapat Tempat Pertama Universiti Awam Malaysia mengikut pentafsiran The World University Rankings untuk universiti bawah umur 50 tahun dan kedudukan ke-95 di dunia. Maka untuk terus melangkah dasawarsa yang lebih terbilang maka UUM menyasarkan:
1. Mencapai keunggulan global
Untuk mencapai keunggulan global, UUM sesuai dengan fokus sebagai universiti pengurusan mestilah berusaha memastikan berada di kedudukan nombor satu dalam top business school di Malaysia selain berada di kedudukan 20 teratas di Asia dan kedudukan 200 teratas dalam QS World MBA Ranking.
2. Memperkasa kerjasama strategik antarabangsa
Untuk memperkukuh keterlihatan UUM di peringkat global, hala tuju ini diletakkan bagi memperkasa kerjasama strategik antarabangsa. Kita menyasarkan enrolmen baharu pelajar antarabangsa dari kepelbagaian negara pada tahun ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk dengan meneroka model dan strategi universiti yang lebih berdaya saing.
3. Mentransformasi sistem pengajaran dan pembelajaran
Bagi memastikan UUM sentiasa relevan untuk 10 tahun mendatang, IPT ini memulakan langkah mulai sekarang seiring dengan perkembangan zaman dan teknologi, mentransformasi sistem pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan bakat kalis masa depan. 17 program pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) mula ditawarkan pada tahun ini, selain kursus microcredential dan penawaran Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC).
4. Memantapkan pengurusan kewangan
Untuk memastikan kemampanan kewangan, UUM perlu menjana melalui sumber dalaman dengan lebih agresif. Justeru usaha memperkenalkan Tahun Melawat UUM 2024 adalah sebagai landasan penting bagi mewadahkan UUM kepada masyarakat, agensi, industri untuk saling berkolaborasi dalam membina budaya ilmu, pengkomersialan dan pemindahan Ilmu sama ada diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
5. Memperkukuh pengurusan sumber manusia
Bagi membina budaya kerja yang lebih kompetitif laluan kerjaya bagi staf akademik di UUM berpandukan kepada empat laluan kerjaya (Four Track) yang dirangka, iaitu Regular Track, Accomplished Researcher Track, Inspiring Lecturer Track dan Institutional Leadership Track, akan diperkasakan agar keterlihatan sumbangan setiap kepakaran tenaga pengajar UUM di persada ilmu pengurusan.
6. Membangunkan kapasiti bakat masa depan dan memperkasakan mahasiswa
UUM akan terus memberikan tumpuan terhadap tiga fokus pemerkasaan mahasiswa, iaitu merealitikan digital native, keusahawan pelajar dan khidmat mobiliti/kesukarelawanan. Penerapan tumpuan sebegini diharapkan akan dapat dalam memenuhi misi UUM untuk melahirkan pemimpin berperwatakan holistik.
UUM menyasarkan tahap kebolehpasaran graduan (GE) berada pada tahap 95 peratus ke atas. UUM juga menyasarkan peningkatan peratusan graduan mendapat gaji premium selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
7. Memperkasa penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengkomersialan
Untuk 2024, UUM sewajarnya mewarnai ekosistem baharu dalam penawaran geran-geran ke arah berimpak tinggi. Penyelidik akan berpeluang merasai proses perkembangan ‘dari idea kepada impak’. Geran dalaman akan disusun daripada bersifat fundamental hinggalah kepada idea yang matang untuk dimanfaat masyarakat.
UUM secara serius memberikan tumpuan untuk penyelidikan berfokus untuk komuniti dan industri serta polisi negara tahun 2024.
8. Memperkukuh ekosistem digital dan infrastruktur uum secara menyeluruh
UUM dalam usaha meningkatkan kualiti infrastruktur, teknologi dan pengurusan bagi memperkukuhkan ekosistem digital dan menjadikan UUM sebagai Universiti Pintar Tahun 2026. Rolling Plan Keempat (RP4) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM24.7 juta beberapa projek pendigitalan telah dirancang dengan teliti untuk dilaksanakan pada tahun 2024.
9. Memperluas akses program pembelajaran sepanjang hayat
Sasaran UUM ialah untuk menyediakan setiap pusat pengajian mempunyai satu program pembelajaran sepanjang hayat. Program seperti microcredential, sijil-sijil eksekutif dan Executive Diploma Business Management (EDBM) akan diperluaskan lagi.
Promosi dan perluasan untuk Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE) sebagai pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) akan diperkukuhkan. Projek atau program Satu Pusat Pengajian Satu Daerah akan diteruskan bagi menjadi saluran pemindahan ilmu yang terbaik antara universiti dan masyarakat.
Sehubungan itu, lebih 40 program utama dirancang untuk meraikan sambutan 40 tahun UUM sepanjang tahun ini. Usia 40 tahun ini merupakan usia yang menarik. Dalam usia sekitar 40 tahun juga, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu dan terus berdakwah untuk mencapai visi dan misi nubuwwah (kenabian). Pada usia 40 tahun, UUM akan terus mengekalkan kompas untuk membina institusi ini sebagai universiti pengurusan terunggul dengan menggunakan pelbagai kaedah transformatif.
Semoga UUM lebih cemerlang sebagai destinasi ilmu pengurusan terkemuka selaras dengan tiga objektif penubuhannya, iaitu UUM sebagai pemacu pendidikan pengurusan, UUM sebagai pusat rujukan pengurusan, dan UUM sebagai pemangkin pembangunan wilayah utara.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Foad Sakdan adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










