Selaras harga beras kukuhkan monopoli

Selaras harga beras kukuhkan monopoli

Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) cadang urusan beras diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia menyifatkan, cadangan menyelaras harga beras lebih cenderung untuk mengukuhkan monopoli berbanding memecahkannya.

Langkah itu dijangka memberi kesan kepada golongan B40 dan M40 serta mendatangkan impak kepada peniaga kecil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, penyelarasan atau kawalan harga merupakan halangan terbesar kepada pengeluar kecil atau baharu untuk masuk ke dalam pasaran.

“Sebagai contoh jika kawalan harga ke atas beras ditetapkan pada harga di bawah kos pengeluaran atau kurang kompetitif, ia menyebabkan pengeluar yang lebih kecil atau perniagaan baharu sukar untuk bersaing berbanding pengeluar atau pengedar beras berskala besar dengan infrastruktur sedia ada dan skala ekonomi mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyerap kesan kawalan harga.

“Selain itu, kawalan harga juga boleh menyekat inovasi dan kemajuan teknologi dalam pengeluaran beras.

“Motivasi dan insentif untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi akan berkurangan kerana pelabur merasa selesa dengan mengekalkan status monopoli dan tiada tekanan persaingan bagi meningkatkan produktiviti operasi mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Tarmizi berkata, kerajaan disaran melaksanakan reformasi peraturan persaingan sektor padi bagi mengurangkan beban kepada orang ramai terutamanya golongan yang memerlukan.

Menurutnya, pihak kerajaan sepatutnya memecahkan sebarang amalan monopoli dalam industri beras melalui persaingan pasaran bebas di kalangan pengeluar dan pengedar.

“Persaingan bebas boleh memacu inovasi dan pertumbuhan dalam pasaran beras dan membawa kepada produk dan perkhidmatan yang lebih baik untuk pengguna.

“Situasi ini mampu mewujudkan peniaga kecil yang tangkas dan responsif terhadap perubahan pasaran serta mempunyai peluang untuk bersaing dalam pasaran melalui inovasi dan peningkatan kualiti,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kawalan harga barang berpotensi memberi manfaat kepada pengguna secara keseluruhan melalui harga yang lebih rendah, namun kerajaan akan menanggung subsidi yang lebih besar.

“Seterusnya, berisiko mengurangkan kecekapan dan gangguan pasaran seperti permintaan yang lebih tinggi dan penggunaan yang berpotensi membazir.

“Ini boleh mewujudkan ketidakseimbangan pasaran, seperti kekurangan atau lebihan dan menghalang pengeluar daripada mengamalkan amalan yang lebih cekap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×