PETALING JAYA: Asas ekonomi negara yang makin kukuh menyebabkan penganalisis ekonomi menolak kemungkinan ringgit menyusut sehingga RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir bulan ini, mahupun suku pertama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan ringgit ketika ini adalah kesan daripada pengukuhan dolar AS.
Katanya, ringgit rendah kerana kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang masih kekal tinggi pada 5.5 peratus dan juga ekonomi negara China yang agak perlahan menyebabkan kurang sedikit permintaan terhadap barangan eksport negara.
“Jika ringgit terus jatuh, eksport negara akan menjadi lebih kompetitif tetapi kita harus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import untuk mengelakkan imbangan dagangan dan akaun semasa kita dari menjadi negatif
“Kejatuhan ringgit boleh mengakibatkan peningkatan harga barangan yang diimport.
“Selain itu, memandangkan makanan ayam majoritinya diimport, kenaikan harga makanan ayam boleh menyumbang kepada kenaikan harga ayam itu sendiri,” katanya di sini, semalam.
Mengulas mengenai prestasi Bursa Malaysia pula, beliau berkata, pasaran saham lebih dipengaruhi oleh prestasi syarikat tempatan yang mampu menjanjikan pulangan atas pelaburan seperti yang diharapkan dan juga sentimen pelabur itu sendiri.
“Kemungkinan ringgit yang lemah membolehkan pelabur asing masuk melabur dalam pasaran ekuiti kerana pelaburan mereka menjadi lebih murah
“Saya menjangkakan pasaran saham akan didagangkan sekitar 1,500 hingga 1525 hingga akhir bulan ini,” ujarnya.
Semalam, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.786/4.784 daripada 4.764/4.768 pada 5 petang, Selasa.
Sementara itu, Bursa Malaysia juga ditutup lebih rendah pada 1529.33, susut 2.04 mata berbanding 1,531.37 ketika ditutup kelmarin.
Kali terakhir Bursa Malaysia melepasi paras 1,530 mata ialah pada 27 September 2022 apabila ditutup 1,532.20 mata. – UTUSAN










