Pertemuan Muhyiddin-Abdul Hadi tepis spekulasi 'perang dingin'

Pertemuan Muhyiddin-Abdul Hadi tepis spekulasi ‘perang dingin’

MUHYIDDIN Yassin menerima kunjungan Abdul Hadi di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. - FACEBOOK/MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berlangsung secara harmoni hari ini secara tidak langsung menepis spekulasi bahawa wujudnya ‘perang dingin’ antara kedua-dua pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) tersebut.

Menerusi satu hantaran Facebook Muhyiddin, Pengerusi PN itu memaklumkan beliau meraikan beberapa sahabat kepemimpinan tertinggi Pas termasuk Abdul Hadi dalam satu majlis makan tengah hari di kediamannya.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau menyifatkan kehadiran kepemimpinan Pas tersebut sebagai satu tanda hubungan silaturahim erat yang terjalin sejak sekian lama.

“Seusai makan tengah hari, kami berbincang banyak perkara tentang isu-isu semasa hingga perkembangan politik negara.

“Saya bersyukur melihat Tuan Guru Abdul Hadi semakin sihat dan kekal bersemangat sepanjang kami berbual. Semoga silaturahim dan ukhuwah yang terjalin sejak sekian lama ini akan bertambah kuat, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, satu portal berita mendakwa tentang status hubungan antara Muhyiddin dan Abdul Hadi yang dikatakan dingin sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kelangsungan PN yang digagaskan oleh dua parti itu.

Menurut portal berkenaan, hubungan dingin itu antara lain, berkait dengan kegagalan Pas menampilkan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri, selepas Muhyiddin tidak meneruskan hasrat berundur pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun ini.

Selain Abdul Hadi, antara yang hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman.

Turut bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN