PETALING JAYA: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menjalin kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi Program Pendidikan Pengguna #JomLevelUp (CEP) untuk memperkasakan industri insurans dan takaful motor.
PIAM dalam kenyataan memberitahu, inisiatif yang bermula 20 Disember lalu bertujuan menangani tuntutan pelanggan.
Katanya, CEP mempunyai fokus strategik mengenai peningkatan kesedaran liputan berdasarkan keperluan, menggalakkan pemanduan tingkah laku yang selamat serta mendidik pengguna mengenai hak mereka.
“Langkah penting berikutan kemalangan atau kerosakan serta menggalakkan penggunaan penyelesaian digital untuk motor memproses tuntutan insurans dan takaful.
“Kempen ini menampilkan Ot-to-Maskot melambangkan komitmen yang kuat terhadap pendidikan pengguna dan meningkatkan penggunaan digitalisasi motor,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada program sempena sambutan Tahun Baharu Cina, PIAM dan MTA memperkenalkan Peraduan #ILuvMyRide berlangsung dari 1 hingga 29 Februari 2024.
“Orang ramai dijemput untuk berkongsi idea positif mengenai kereta atau motosikal mereka yang menekankan kepentingan perlindungan insurans dan takaful motor.
“Seramai 28 pemenang berpeluang memenangi hadiah berjumlah sehingga RM14,500 termasuk Apple iPhone 15 Pro, AirPods Pro generasi ke-2, 70mai A80 Dash Cam 32GB dan Touch kredit n’ Go bernilai RM100,” katanya.
Pertandingan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan terma dan syarat boleh diketahui di laman sosial Facebook, PIAM @PersatuanInsuransAmMalaysia atau MTA, @MalaysianTakafulAssociation – UTUSAN










