PADA 2008, bandar raya Melaka dan George Town (Tanjung) merupakan Tapak Warisan Dunia (TWD) Malaysia dinaungi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di samping Taman Negara Mulu dan Kota Kinabalu pada tahun 2000. Terkini, Lembah Lenggong, Perak (2012).
Maksudnya hal TWD bukannya baharu. Malah apabila bandar raya Melaka dan George Town dianugerah status sedemikian, rakyat Malaysia berasa bangga dan gembira. Walaupun kedua-dua dari negeri selat dan tiada beraja, namun tidak seorang pun mengungkit soal itu kerana merasa selesa dan menerima tempat-tempat tersebut sebahagian warisan bagi warga negara jati Malaysia.
George Town, sungguhpun merupakan bandar raya yang majoritinya kaum Cina, tidak menimbulkan apa-apa masalah dan prasangka. Begitu juga Melaka dengan kelebihan penempatan orang Melayu. Ini amat berbeza dengan cetusan baru-baru ini apabila dilaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menguar-uarkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai TWD. Ramai ‘ternga-nga’ dengan menteri cetek sejarah itu.
Ini sekali gus menimbulkan perdebatan hangat di khalayak sehingga ada pihak mendesak kerajaan memecat menteri tersebut kerana cadangan yang dikemukakan itu boleh menimbulkan ketidak harmonian kaum di negara ini. Berbanding pengalaman TWD bagi Melaka dan Pulau Pinang yang dikendalikan dengan teliti, cermat berhemah dan bermusyawarah. Tidak berbaur politik, apa lagi dikatakan tidak zero-sum kononnya.
Hatta, bangkit persoalan kenapa tidak belajar dari pengalaman lama, lebih peka dan silang budaya. Tambahan pula pencadang tidak pun mendekati hati kaum lain berdasar beberapa peristiwa pahit lalu. Kenapa sebagai menteri tidak merangkumkan kampung lain khususnya yang jelas sejarah tamadunnya ribuan tahun berada di Tanah Melayu berbanding Kampung Baru Cina berusia tidak sampai pun seabad? Tidak ada yang ‘baharu’ bagi Kampung Baru Cina melainkan bak penjara tahanan politik gubahan penjajah untuk pecah dan perintah terkesan sehingga hari ini sebagai muslihat politik yang jahat.
Kini lebih rumit lagi kerana Kampung Baru Cina menjadi serasi membelakangkan hidup bernegara berbilang kaum saling mempercayai dan menghormati sesama sendiri. Bukan lagi bersatu, retak seribu menunggu belah!

– UTUSAN/AMIR KHALID
DAKYAH KOMUNIS
Lebih menarik merujuk petikan berita yang sama dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunakan adalah Malaysian Chinese, dan bukan Chinese Malaysian sepertimana rujukan di Amerika Syarikat (AS) sebagai Chinese American atau Sino-American bukan sebaliknya. Ini sahaja agak jelas menampakkan bahawa ‘kecinaan’ itu lebih ditonjolkan daripada kerakyatan seorang Malaysia seperti yang sering diakui. Rata-rata ia digunakan dalam hal kepartian politik sempit Malaysia. Tidak ada berani ditegur sehingga terlanjak.
Tiba masanya ia diperbetulkan dahulu, segera! Yakni meletakkan kenegaraan teratas dari soal perkauman terutama untuk menggambarkan berbilang kaum yang tulen – Malaysian Malaysia konon. Sudah lama ia menjadi agenda pecah dan perintah diatas pelantar ‘kiasu’ yang rakus merebut kuasa.
Agar kampung lain, sekolah lain, padang juga lain, maka belalang pun lain. Apatah lagi mengikut pakar sejarah yang mengimbau semula pembukaan Kampung Baru Cina sebagai peristiwa gelap untuk mengepung kaum Cina terhadap dakyah Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1948. Ini tidak berlaku bagi kaum-kaum lain.
Pakar Sejarah, Profesor Datuk Ramlah Adam berkata, penjajah British mengasingkan penempatan bagi kaum Cina di Tanah Melayu kerana mereka mudah terbeli dengan putar-belit komunis sebagai sokongan kuat menjadi tali barut anasir PKM, 76 tahun lalu. Kampung baru berkenaan bukan warisan tetapi ia satu sejarah gelap orang Cina yang sekiranya ditimbulkan semula dibimbangi akan mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini.
Umumnya, Kampung Baru Cina direka penjajah Britain ketika Darurat Tanah Melayu atau semasa Perang Pembebasan Kebangsaan Anti-British sebagai kem tahanan untuk ratusan ribu penduduk Cina supaya tidak mudah gula-gulakan oleh komunis China melalui hubungan rapat PKM.
Semasa darurat, tidak kurang 450 kem tahanan dibangunkan untuk anggaran 470,509 penduduk, dan 400,000 dikatakan daripadanya berbangsa Cina yang terpaksa ditempatkan semula. Sekali gus memperhebatkan amalan pecah dan perintah.
Persatuan Cina Tanah Melayu ditubuhkan untuk tujuan ini dan berlarutan sehingga sekarang. Berputik dari penduduk di Kampung Baru Cina yang sangat terasing.
Anehnya kaum India tidak memerlukan Kampung Baru India.
Namun ini belum lagi mengambil kira betapa ramai orang bukan keturunan Cina, khasnya Melayu yang antikomunis, turut menjadi mangsa kekejaman pergolakan politik dan ideologi ditangan anasir komunis pada ketika itu. Ingatan pahit ini masih segar dari generasi ke generasi bak duri dalam daging.
Malah baru-baru ini kita terkesan apabila isu berkaitan dibicara kembali oleh seorang ahli Parlimen yang mengaitkan sebuah parti tempatan dengan komunisme. Mendakwa ini terkandung dalam dokumen khas Jabatan Komunikasi Barisan Nasional (BNCOMMS) berkaitan yang dikatakan terbit sekitar kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Masih panas.
Lalu dilaporkan tercatat pada halaman tertentu dibawah tajuk Fahaman Komunis yang menyentuh pertalian sebuah parti tempatan serta salasilah keluarga Pengasas PKM berbangsa Cina. Betul atau tidak, apa yang nyata isu tersebut tiba-tiba menjadi dingin dalam percaturan politik identiti sempit.
Diambil alih oleh tindakan sembrono TWD bagaikan menutup soal yang dibawa oleh ahli Parlimen berkenaan, selepas dicemuh.
Silapnya soal TWD tidak dibincang dibelakang tabir dan dihalusi bersama pelbagai pihak, sebagaimana TWD bandar raya Melaka dan George Town dijayakan dahulu. Tidak perlu menjadi wira bangsa Malaysian Chinese sedangkan yang ditempatkan Malaysian Malaysia. Biarlah cakap serupa bikin!
Walhal yang paling utama dalam soal ini adalah TWD untuk orang asal yang sudah lama sangat tercicir sebagai satu lagi wadah budaya asli mendahului semua, sudah tentu mengatasi KBC.
Maka pastikan jangan ‘ternga-nga’ lagi!-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










