SEBUT sahaja penyakit HIV atau AIDS, pasti ramai yang gerun.
Tidak kurang juga yang mula menunjukkan reaksi negatif kerana penyakit ini sering kali dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral seperti
penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya.
Namun, tugas menghukum bukan terletak di tangan anggota masyarakat.
Sebaliknya, mereka ini perlu diberi sokongan untuk menerima rawatan kerana ia bukan sahaja melibatkan diri mereka sendiri malah
keluarga mereka.
Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azahah Abu Hassan Shaari
berkata, perbincangan isu ini boleh dianggap kritikal kerana stigma negatif dan diskriminasi hanya akan memburukkan keadaan
pesakit dan keluarga.
Negativiti yang diterima akan menyebabkan mereka ini mengelak untuk menjalani ujian saringan serta mendapatkan rawatan.
“Advokasi kesedaran dan pemerkasaan HIV dan AIDS di Malaysia adalah satu isu yang kritikal disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk
kurangnya pengetahuan yang tepat mengenai jangkitan dan kaedah pencegahan dalam kalangan masyarakat.
“Stigma dan diskriminasi berkaitan HIV dan AIDS akan menghalang individu daripada menjalani ujian saringan, mendapatkan rawatan, serta perkhidmatan sokongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, UKM melalui Psitra menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) dan Majlis Bandaraya Subang
Jaya (MBSJ) menganjurkan Program Advokasi Kesedaran dan Pemerkasaan HIV dan AIDS Rakyat Malaysia.
Ia bertujuan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat tentang penyakit itu, seterusnya mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap
penghidap atau individu yang hidup dengan penyakit ini.
Program itu juga turut melibatkan pelajar-pelajar kerja sosial di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM.

PELUANG MANDIRI
Tambah Dr. Azahah, program yang mendapat tajaan geran daripada PKRM itu dapat membantu penghidap dan keluarga
untuk mandiri dan tidak merasa dipinggirkan masyarakat.
“Pentingnya kurangkan stigma supaya mereka yang hidup dgn HIV dapat berdikari dan berjaya tanpa merasa dipinggirkan dan
terasing.
“Ia juga akan membuatkan mereka pergi dapatkan rawatan kesihatan di hospital tanpa rasa ragu-ragu, terutamanya jika mereka
mempunyai anak yang juga hidup dengan HIV.
“Juga supaya keluarga dapat memberikan sokongan kepada mereka,” ujarnya lagi.
Selain itu, katanya yang juga Ketua Projek, faktor budaya dan masyarakat turut memainkan peranan dalam membentuk sikap dan
persepsi terhadap penyakit berkenaan.
Kurangnya kefahaman tentang langkah pencegahan menjadikan ramai yang menyisihkan golongan tersebut.
Kebiasannya mereka mula menjauhkan diri dan kurang memberikan sokongan kepada pesakit dan keluarga.
“Penglibatan komuniti, termasuk kerjasama di antara UKM, PKRM, MBSJ, Yayasan Amal Malaysia, Kuala Lumpur AIDS Service Society, dan
PERNIM merupakan asas kepada kejayaan program kesedaran dan advokasi HIV.
“Terutamanya dalam kalangan pelajar Program Kerja Sosial di PSITRA, FSSK, UKM,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Projek, Mohamad Hanif Mohamad Jani berkata, program sedemikian telah membuka matanya selain memberi ilmu dan pengalaman bermanfaat.
“Daripada projek ini, saya dapat simpulkan, ia telah memberi ilmu serta pengalaman yang amat bermanfaat dan pastinya satukesedaran kepada saya sejajar dengan pandangan Abraham Maslow berkaitan kehidupan manusia.
“Mulai saat ini, marilah kita hidup dengan penuh kebahagiaan dengan sistem sosial kita.
“Raikan kepelbagaian dan hidup dengan penuh kasih sayang tanpa ada diskriminasi kepada persekitaran kerana setiap manusia mempunyai
banyak pengalaman yang boleh dijadikan pedoman dan sempadan,” katanya yang juga Pelajar Kerja Sosial, UKM.











