PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan Skim Pencen Penjawat Awam sebelum ia dibawa ke jemaah menteri untuk dimuktamadkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan diambil berhubung skim itu, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.
Menurutnya, ketika ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberikan peruntukan untuk melantik penjawat awam baharu secara kontrak dahulu, mungkin setahun atau setahun setengah.
“Jadi, kalau JPA tidak keluarkan arahan, dikhuatiri masih kekal melantik secara tetap dan berpencen dan ia tidak mencapai maksud apa yang nak kita kaji.
“JPA kini di peringkat akhir kajian dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan berdasarkan apa yang diputuskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat KSN Tahun 2024 di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.
Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.
Sebelum ini juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Laporan akhir kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan ini sebelum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri untuk diputuskan.
Beliau dilaporkan berkata, mesyuarat pelaksanaan pelarasan gaji itu sudah dimulakan dan akan dipercepatkan terutama di peringkat Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
“Alhamdulilllah, proses itu lebih cepat dari saya jangkakan dan ia akan diimbangi dengan keupayaan kita,” katanya. – UTUSAN











