ALOR SETAR: Kira-kira tujuh enakmen undang-undang syariah negeri Kedah seperti yang termaktub di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati menyamai atau hampir menyamai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan, Jumaat lalu.
Semakan Utusan Malaysia mendapati, antara peruntukan di bawah enakmen tersebut yang berkemungkinan boleh dibatalkan jika dicabar antaranya kesalahan berkaitan liwat; perbuatan sumbang mahram; penyalahgunaan tanda halal; minuman yang memabukkan serta memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau dan sebagainya.
Selain itu, kesalahan berkaitan pelacuran di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati turut menyamai Seksyen 43, Seksyen 44 dan Seksyen 45 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Bagi kesalahan liwat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, mana-mana lelaki yang melakukan perbuatan itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri akan terlebih dahulu merujuk Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan kadar segera bagi mendapatkan titah baginda sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji implikasi terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 susulan pembatalan 16 kesalahan syariah Kelantan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Kita sudah semak, ada tujuh enakmen yang sama dengan Kelantan. Kerajaan negeri akan mengkaji kesan perundangan bersabit keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jumaat lalu, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasa di negeri itu menimbulkan polemik terhadap sistem perundangan Persekutuan dan negeri.
Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, berjaya mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan, dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 kekal sah. – UTUSAN










