PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam peringkat akhir bagi kajian pelaksanaan skim pencen penjawat awam (SSPA) sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan muktamad diambil berhubung pelaksanaan skim pencen itu, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.
Beliau berkata, ketika ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberikan peruntukan untuk melantik penjawat awam baharu secara kontrak dahulu mungkin bagi tempoh setahun atau setahun setengah.
“Jadi kalau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tak keluarkan arahan, dikhuatiri masih kekal melantik secara tetap dan berpencen dan ia akan ‘defeat the purpose’ (tak mencapai maksud) apa yang nak kita kaji.
“JPA kini di peringkat akhir kajian dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan berdasarkan apa yang diputuskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat KSN Tahun 2024 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.
Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai kerajaan yang berani kerana berupaya melaksanakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menurutnya, isu penyelarasan gaji penjawat awam bukan perkara baharu malah, sudah lama dibincangkan dan tiada kenaikan sejak hampir 12 tahun lalu.
“Pagi tadi saya bersama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa yang kita akan bawa kepada Jemaah Menteri.
“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin, beri keutamaan kepada kebajikan penjawat awam,” katanya.
Katanya, SSPA bukan perkara baharu malah, sudah lama dibincangkan cuma kerajaan pada hari ini paling berani melaksanakan perkara ini. – UTUSAN










