PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mahu peraturan dan pekeliling lapuk yang masih terpakai dalam perkhidmatan awam ketika ini ditambah baik supaya ia sesuai dengan kehendak semasa.
Justeru, katanya, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri supaya menyemak semula perkara itu.
“Saya memberi tempoh sebulan kepada mereka (KPPA, KSP dan KP ICU) supaya hantar balik (semak dan kaji) kepada saya mana-mana pekeliling yang boleh ditambah baik.
“Sebab itu, kadang-kadang kita susah hati kerana dah bertahun-tahun kita guna peraturan lama dan ia tidak lagi sesuai dengan kehendak zaman dan semasa.
“Kadang-kadang kita nak gerak, tapi tangan kita diikat oleh peraturan dan pekeliling, saya harap selepas ini saya dapat pantau perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024, di sini hari ini.
Beliau juga berharap selepas ini tiada lagi isu berbangkit mengenai peraturan dan pekeliling yang dilihat mengikat penjawat awam.
Dalam pada itu, Mohd Zuki mahu pegawai atasan di peringkat kementerian dan jabatan serta agensi supaya sentiasa turun padang dan membuat lawatan mengejut bagi menilai perkembangan setiap projek pembangunan.
Katanya, pemantauan projek perlu dibuat secara progresif dan mengikut penilaian ditetapkan bagi memastikan setiap projek berjalan lancar.
“Kadang-kadang jika tak turun padang dan percaya kepada mereka yang ada di bawah, selalunya maklumat diberikan tidak tepat.
“Sebagai contoh, saya pernah terima laporan kadang-kadang isu tidak cukup pekerja di tapak dan isu bahan mentah, tetapi pada hari saya melawat penuh pula pekerja di tapak.
“Jadi lawatan mengejut ini perlu kerana saya bercakap perkara ini berdasarkan pengalaman. Dulu saya pernah melawat satu projek ternakan lembu di Perlis dimana ketika menteri melawat, penuh lembu dalam ladang tetapi dua hari selepas itu kosong (tiada lembu di ladang),” katanya.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata, beliau juga mencadangkan supaya penilaian pegawai dan penjawat awam dibuat secara demerit dan tidak dibuat secara tergesa-gesa di saat akhir terutama di akhir tahun.
“Saya cadangkan, kita tetapkan markah 100 dan selepas itu kaedah demerit dilaksanakan dimana pada hujung tahun baru dapat tahu jumlah markah atau penilaian sebenar berdasarkan prestasi dipamerkan pegawai.
“Ketika ini, saya dapati tiga hari nak tutup tahun, baru nak buat penilaian. Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pengarah buat penilaian sama kerana tidak adil jika buat penilaian akhir tahun,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara dan KSU amat berpuas hati dengan sumbangan diberikan penjawat awam, namun masih ada ruang untuk ditambah baik demi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam. – UTUSAN










