SEMASA hari kedua cuti Tahun Baharu Cina yang lalu, saya berkesempatan berjumpa dengan seorang rakan lama. Antara intipati perbualan kami berkaitan dengan kerjaya pensyarah. Rakan saya berminat untuk menjadi seorang pensyarah setelah bekerja begitu lama di sektor lain. Jadi, dia bertanyakan soalan tentang kerjaya pensyarah kepada saya.
Ini bukan pertama kali saya ditanya tentang kerjaya pensyarah, para pelajar saya juga sering bertanyakan soalan yang sama sejak saya bergelar pensyarah 20 tahun lalu. Untuk mengulas hal ini, ramai yang tidak mengetahui hakikat sebenar kerjaya pensyarah.
Pengajaran hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang pensyarah. Sebahagian tanggungjawab lain berkaitan dengan penyelidikan, perundingan, penerbitan, penyeliaan dan terlibat dengan projek komuniti.
Sebagai seorang pensyarah yang pernah memegang jawatan sebagai pengarah sebuah institusi penyelidikan dan bekas Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertanggungjawab terhadap semua penyelidikan pensyarah di institusi tersebut, saya amat memahami bahawa seseorang pensyarah perlu tabah dan tekun menjalankan penyelidikan dan perundingan.
Masakan tidak, mereka perlu bertanggungjawab dengan pemberi dana yang mengeluarkan wang untuk melaksanakan projek penyelidikan dan perundingan. Di sinilah betapa pentingnya komitmen pensyarah untuk menjalankan amanah yang diberikan oleh pemberi dana dan pada masa yang sama tidak boleh sesekali mengabaikan pengajaran.
Pensyarah perlu mengatur jadual penyelidikan dan perundingan agar tidak bertindih dengan waktu pengajaran. Tidak menghairankanlah, mereka akan lebih giat menjalankan penyelidikan dan perundingan semasa cuti semester.
Tidak cukup dengan itu, para pensyarah perlu menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal.
Penerbitan artikel dalam jurnal memakan masa. Misalnya, ketika ini, salah satu artikel yang dihantar saya bersama-sama dengan penulis lain sudah mencecah tempoh tiga tahun semakan disebabkan proses semakan teliti oleh pihak editorial jurnal.
Ini memang lumrah jika melibatkan jurnal yang berkualiti tinggi, maka pensyarah perlu sentiasa sabar dan tidak sesekali berputus asa sehinggalah artikel yang ditulis diterima oleh ketua editor untuk diterbitkan dalam jurnal yang berkenaan. Bukan setakat penerbitan dalam jurnal, penerbitan-penerbitan lain seperti buku, bab dalam buku, monograf, majalah dan akhbar juga sudah menjadi lumrah dalam kerjaya pensyarah.
Dalam konteks penyeliaan pula, seseorang pensyarah perlu menyelia pelajar bukan setakat peringkat ijazah pertama, tetapi juga sarjana dan kedoktoran. Misalnya, dalam tempoh tiga tahun ini, seramai enam orang pelajar kedoktoran yang diselia saya lulus dengan jayanya.
Untuk menyelia dengan jayanya, saya perlu sentiasa memantau perkembangan mereka sejak hari pertama mendaftar sebagai pelajar sehinggalah peringkat pembetulan selepas sesi mempertahankan laporan akhir (viva). Ketebalan tesis pelajar kedoktoran boleh mencecah melebihi 250 muka surat. Setiap ayat yang ditulis perlu dibaca dengan teliti supaya penulisan mereka bertepatan dengan penulisan akademik.
Seseorang pelajar kedoktoran perlu dilengkapi kemahiran penulisan akademik dan ini hanya boleh diperoleh dengan tunjuk ajar penyelia dan para pensyarah yang mengajar subjek penulisan akademik dan kaedah penyelidikan.
Penglibatan dalam projek komuniti juga tidak boleh sesekali diketepikan. Hal ini demikian kerana para pensyarah merupakan golongan yang diamanahkan untuk membantu komuniti, misalnya dari sudut meningkatkan pendapatan dan mengubah komuniti ke arah budaya yang positif dalam kehidupan mereka. Ini juga memerlukan komitmen tinggi bagi seseorang pensyarah.
Sayugia diingatkan selain tanggungjawab-tanggungjawab yang disebut di atas, para pensyarah juga dikehendaki membentangkan kertas penyelidikan di seminar, menganggotai jawatankuasa di pelbagai peringkat, menjadi sidang editorial jurnal, membina rangkaian yang baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pelbagai lagi tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.
Saya tidak mampu memperincikan senarai panjang tanggungjawab para pensyarah dalam satu muka surat artikel ini.
MASA FLEKSIBEL
Ya, memang benar, masa bekerja pensyarah adalah fleksibel. Namun, fleksibel ini kerana segala tugasan yang disebut di atas tidak mampu dilaksanakan oleh sesiapa sahaja dalam tempoh waktu pejabat, maka mereka bekerja melebihi waktu pejabat pada setiap hari termasuklah ketika cuti perayaan.
Sayugia diingatkan tidak sebagaimana guru sekolah, para pensyarah tidak bercuti semasa cuti semester kecuali mereka mengambil cuti tahunan.
Sejurus selesai saya berbual dengan rakan lama, dua orang pelajar kedoktoran telah menghubungi saya untuk berjumpa bagi membincangkan perkembangan terkini penulisan kertas cadangan mereka. Sebagai penyelia, saya tidak tergamak menolak permintaan mereka meskipun semasa cuti perayaan. Segala masalah yang dihadapi pelajar perlu dibantu dan diselesaikan dengan pantas dan tuntas supaya mereka dapat bergraduasi dalam tempoh yang ditetapkan (GOT).
Sebelum saya berlalu pergi setelah berbual lama dengan rakan tersebut, saya lontarkan satu persoalan kepadanya, iaitu sanggupkah berkerja sebagai pensyarah kerana waktu berehat pensyarah sangat terhad dan tidak boleh sesekali goyang kaki?
Tepuk dada tanya selera.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).










