KEMAMAN: Seorang peniaga emas yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya di Kilometer 9, Jalan Chukai-Air Putih, Khamis lalu, direman selama dua hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 42 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas menerima permohonan daripada polis, pagi ini.
Perintah reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, suspek berjaya ditahan di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, peniaga tersebut ditahan
selepas sebuah video rakaman kemera papan pemuka atau ‘dashcam’ tular di laman sosial yang memaparkan sebuah kereta dipercayai jenis Volkswagen dipandu secara berbahaya dan nyaris menyebabkan kemalangan.
Menerusi video berdurasi 60 saat itu, Volkaswagen yang dipandu dari arah Chukai memotong dan bergesel dengan sebuah Perodua Axia di sebelah kiri jalan.- UTUSAN










