Orang ramai kecam caj bayaran bawa kamera di View Point Wang Kelian

Orang ramai kecam caj bayaran bawa kamera di View Point Wang Kelian

KADAR caj yang dikenakan kepada pengunjung bagi merakamkan gambar menggunakan kamera di View Point Wang Kelian. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kadar caj yang dikenakan kepada pengunjung membawa kamera untuk merakamkan gambar di puncak View Point Wang Kelian di sini mendapat kecaman banyak pihak.

Berdasarkan memo dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan negeri, pengunjung tempatan yang membawa kamera atau perakam video akan dikenakan caj RM15 manakala pelancong luar pula perlu membayar sebanyak RM20.

Selain itu, bagi rakaman filem dokumentari, pengunjung tempatan perlu membayar caj RM500 sehari manakala pelancong luar dikenakan bayaran RM1,000 sehari.

Untuk sesi fotografi pula, pengunjung tempatan perlu membayar RM200 sehari dan pelancong luar pula dikenakan caj RM400 sehari.

Bagaimanapun, caj merakamkan gambar berkenaan tidak dikenakan kepada mereka yang menggunakan telefon bimbit.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mohd Shari Saidin turut menyuarakan berhubung caj bayaran yang dikenakan itu ke atas rakannya sewaktu membawa pelancong negara luar ke lokasi pelancongan tersebut.

“Kesian sahabat saya sampai depa (mereka) minta delete (padam) gambar jika tidak mahu bayar, dia bawa pelancong luar negara kot pi (pergi) tempat itu, free promote Perlis, promote Malaysia,” tulisnya dalam status facebooknya.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, perkongsian tersebut telah mendapat sebanyak 440 perkongsian daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan caj berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad menerusi kemaskini di laman Facebook miliknya turut membangkitkan mengenai perkara itu dan berpandangan pelaksanaan tersebut perlu dibuat dengan asas sokongan yang baik.

“Mengenakan caj bagi produk atau perkhidmatan rekreasi tidak semestinya merupakan satu kesalahan. Namun, ia mestilah dibuat dengan asas sokongan yang baik,” katanya.

Selain itu, Noor Amin berkata, antara kajian yang pernah dibuat oleh mahasiswa perhutanan dalam pengkhususan taman dan rekreasi ialah berhubung kesanggupan pengguna perkhidmatan rekreasi membayar bagi pengalaman mereka (willingness to pay).

Katanya, dalam aspek rekreasi, tahap kepuasan pengguna adalah pelbagai dan perkara ini seharusnya dipenuhi oleh pembekal produk atau perkhidmatan rekreasi meliputi sepanjang rantaian nilaian yang ada.

“Formula mudah bagi menentukan tahap kepuasan ini dipenuhi ialah apabila penyampaian perkhidmatan memenuhi jangkaan (exceed expectations).

“Tidak ada jalan mudah bagi pihak masing-masing. Nak ‘berniaga’ memang melibatkan banyak urusan pengendalian terperinci,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×