JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor digugurkan daripada senarai barisan Exco negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan rombakan barisan Exco tersebut dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu Johor ke arah lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.
“Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
Dalam rombakan tersebut, Onn Hafiz yang memegang portfolio Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi sebelum ini turut mengambil alih portfolio Pelancongan
Beliau meminta komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan inisiatif menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang,” jelasnya.
Portfolio Komunikasi yang dipegang Norlizah sebelum ini turut diberikan kepada Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang kekal dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri. – UTUSAN










