PORT DICKSON: Sebanyak 110 kompaun telah dikeluarkan pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sejak 12 Januari lalu kepada pengunjung di tiga kawasan pantai awam di daerah ini yang telah ditetapkan sebagai kawasan larangan aktiviti perkhemahan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon, kesemua kompaun yang dikenakan di Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 dan individu terlibat bakal berhadapan dengan denda sebanyak RM1,000.
“Masih ada yang degil melanggar peraturan berkenaan dan saya harap selepas ini semua pihak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan itu demi kebaikan bersama.
“Saya tegaskan ini adalah undang-undang dan peraturan, semua individu harus mematuhinya kerana sebelum menguatkuasakan undang-undang ini kita sudah berbincang dengan semua pemegang taruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Malam Aspirasi Kebudayaan dan Kesenian Pesona Port Dickson di Dataran Seri Kemang, di sini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, larangan perkhemahan serta merta di tiga pantai awam itu diambil oleh MPPD selepas aduan dan maklum balas diterima daripada pengunjung berkaitan aspek keselesaan bagi tujuan santai atau perkelahan, kebersihan dan nilai estetika pantai yang terganggu akibat aktiviti perkhemahan itu.
Dalam pada itu, Nicole Tan berkata, pihaknya juga mengalu-alukan ketegasan pihak penguatkuasa khususnya di kawasan pelancongan seperti di Port Dickson untuk mengeluarkan kompaun kepada individu yang didapati membuang sampah merata-rata.
“Kalau di Seremban kompaun yang dikenakan lebih tinggi iaitu RM500, di Port Dickson pula kompaun adalah sebanyak RM250. Sejak 12 Januari lalu juga sebanyak 30 kompaun ini telah dikeluarkan di Port Dickson.
“Sampai bila kita hanya mahu beri kesedaran tentang jangan buang sampah merata-rata, dekat sekolah lagi sudah diajar jangan buang sampah merata-rata, tetapi masih lagi ada yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu salah satunya caranya adalah dengan kompaun, kita mahu pastikan pantai kita bersih dan lebih kondusif untuk pelancong,” katanya.-UTUSAN.










