PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengemukakan usul rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan jika mahu menjelaskan kedudukan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah, sekali gus mengelakkan krisis perundangan antara kedua-dua mahkamah tersebut.
Ini ekoran pada masa ini kuasa dimiliki mahkamah sivil dan mahkamah syariah masih kabur khususnya berhubung peruntukan undang-undang jenayah syariah, sehingga menuntut Mahkamah Persekutuan membuat tafsiran berlandaskan pendirian hakim.
Bagi beberapa peguam, kewajaran meminda perlembagaan juga bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan ‘campur tangan’ antara Mahkamah Persekutuan ke atas Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerajaan wajar meminda klausa pengecualian pada Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) Butiran 1, menjelang mesyuarat Dewan Rakyat mulai 26 Februari ini.
Beliau berkata, takrifan jenayah dalam Jadual Kesembilan hendaklah tidak termasuk kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam, kerana maksud jenayah dalam hukum sivil dan syarak mempunyai pengertian berlainan.
“Perbezaan yang ketara dalam hal tafsiran peruntukan undang-undang jenayah mahkamah sivil dan syariah menuntut kepada pindaan Perlembagaan segera. Ini bagi menjelaskan kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan syariah.
“Oleh kerana kuasa yang ada sekarang tidak jelas, Mahkamah Persekutuan terpaksa membuat tafsiran mengikut pendirian hakim. Kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti dinyatakan dalam Perlembagaan juga tidak jelas.
“Dalam hal melibatkan kes jenayah, Perlembagaan tidak menyebut jenis kesalahan secara khusus, ia hanya menyebut secara umum iaitu ‘pewujudan dan penghukuman kesalahan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sehubungan itu, katanya, pindaan Perlembagaan perlu memberi kesan sepenuhnya terhadap Perkara 121(1A) berhubung Kuasa Kehakiman Persekutuan bagi menghalang mahkamah sivil ‘mencampuri’ urusan mahkamah syariah.
“Kedudukan mahkamah syariah dan mahkamah sivil harus diperjelas, kerana kedua-dua mahkamah ini hendaklah saling melengkapi bukannya bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa kerajaan meminda Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) bagi membolehkan DUN menggubal undang-undang syariah, walaupun mungkin wujud pertindihan dengan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan.
Katanya, menyahsenarai klausa pengecualian dalam Senarai Negeri di Jadual Kesembilan membolehkan individu yang melakukan kesalahan boleh dibicara di mahkamah sama ada syariah atau sivil namun tertakluk kepada agama dianuti.
“Untuk bentangkan RUU pindaan perlembagaan ini, harus dinyahsenarai klausa pengecualian dan jika ini dilakukan, membolehkan DUN mana-mana negeri menggubal undang-undang syariah walaupun bertindih dengan undang-undang Persekutuan.
“Pindaan tersebut akan membenarkan mereka (beragama Islam) boleh dibicara di bawah undang-undang syariah dan jika pelakunya bukan Islam, tertakluk kepada undang-undang sivil.
“Cadangan pindaan sudah dilakukan sejak 18 Mac 2021, tetapi malangnya kegagalan pemimpin politik di Parlimen yang tidak menjalankan tanggungjawab, menyebabkan berlaku masalah seperti ini,” katanya.
Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1 memberi kuasa kepada DUN di negeri-negeri membuat undang-undang yang hanya terpakai kepada orang Islam, selain DUN berkuasa bagi pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, kecuali perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu, sekali gus menimbulkan polemik terhadap sistem perundangan Persekutuan dan negeri.
Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, berjaya mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara.
Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula menggesa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaras pindaan enakmen kanun jenayah syariah di peringkat Persekutuan.
Katanya, penyelarasan itu harus datang daripada negeri berkenaan yang lebih memahami uruf (perkataan dan perbuatan yang biasa) masyarakat masing-masing.
Di sebalik gesaan meminda perlembagaan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menepis persepsi undang-undang syariah terhapus, sebaliknya memperkukuh institusi perundangan Islam di Kelantan.
Katanya, persepsi itu tidak relevan kerana sekiranya terdapat 100 seksyen manakala hanya 20 seksyen dibatal, terdapat baki seksyen yang masih berkuatkuasa.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula menggesa Ahli Parlimen Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu dan segera membawa usul di Dewan Rakyat bagi meminda Perlembagaan agar setiap DUN mempunyai kuasa dalam menggubal undang-undang syariah yang tidak bercanggah dengan Persekutuan. – UTUSAN










